'Saya dengar bisikan, mohon hantar saya ke Tanjung Rambutan'

Nik Muhammad Afiq (tengah) dibawa keluar dari lokap mahkamah. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Nik Muhammad Afiq (tengah) dibawa keluar dari lokap mahkamah. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penganggur mengaku mendengar bisikan dan memohon dihantar ke hospital mental ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan samun sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita, awal bulan ini.

Tertuduh, Nik Muhammad Afiq Nik Azahar, 37, membuat permohonan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Mohamad.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan samun dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 32 tahun di Kampung Surau Pendek, Jalan Salor di sini pada jam 12.30 tengah hari, 10 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa dia mengalami masalah mental sejak 2006 dan mendakwa masih menerima rawatan psikiatri.

Dia turut memberitahu pernah mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor serta Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.

“Saya sakit mental sejak 2006 dan ada ambil ubat mental dan pernah masuk hospital di Tanjung Rambutan.

“Saya dengar suara hasutan di telinga, saya mohon dibicarakan dan dihantar ke hospital mental untuk pemeriksaan, nanti doktor periksa baru saya buat pengakuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga mendakwa mempunyai kad orang kurang upaya serta membawa ubat daripada psikiatri.

Susulan itu, mahkamah membenarkan permohonan untuk pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia.

Mahkamah menetapkan 29 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mental tertuduh.

Ringkasan AI

  • Seorang penganggur mengaku mendengar bisikan dan memohon hantar ke hospital mental ketika didakwa samun
  • Tertuduh, Nik Muhammad Afiq Nik Azahar, 37, didakwa samun menyebabkan kecederaan pada wanita di Kampung Surau Pendek
  • Dia mengaku mengalami masalah mental sejak 2006 dan sedang menerima rawatan psikiatri
  • Tertuduh pernah mendapatkan rawatan di Hospital Permai dan Hospital Bahagia Ulu Kinta
  • Mahkamah benarkan pemeriksaan mental dan tetapkan 29 Mac untuk sebutan semula kes

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!