Limau nipis, serai bantu ekonomi Orang Asli

GERIK – Penanaman limau nipis dan serai di Kampung Air Banun di sini membuka lembaran baharu kepada masyarakat Orang Asli apabila projek pertanian komersial itu berjaya meningkatkan taraf ekonomi mereka.
Projek berkenaan, hasil kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Pertubuhan Sukarelawan Haluan Malaysia, bermula sejak 2013 sebagai usaha memperkasa sosioekonomi komuniti Orang Asli melalui pertanian sistematik.
Ketua Kebajikan Haluan, Abdul Halim Khudri berkata, pelbagai tanaman telah diuji sebelum limau purut dan serai dipilih kerana tidak diminati haiwan liar seperti gajah dan babi hutan, selain mempunyai permintaan tetap di pasaran tempatan.
"Matlamat utama kami ialah melatih penduduk kampung menjana pendapatan melalui tanah adat yang subur di kawasan mereka.
"Dahulu, mereka terpaksa masuk jauh ke Hutan Belum selama berhari-hari mencari akar kayu, herba, buluh dan rotan tanpa kepastian pulangan. Kini, mereka boleh menanam dan menjual hasil sendiri secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Majlis pelancaran rasmi projek tersebut disempurnakan oleh Ketua Alam Sekitar, Iklim dan Alam Sekitar (Malaysia, Singapura & Brunei) UNDP, Nosrat Ravichandran bersama Timbalan Presiden II Haluan Malaysia, Profesor Dr Solehuddin Shuib.

Menurut Abdul Halim, projek itu diterajui oleh tiga saudara Orang Asli iaitu Sani Dalong, Dahalan Dalong dan sepupu mereka, Lan, yang kini mampu menjual sekurang-kurangnya 15 kilogram limau seminggu di pasar borong utama Gerik.
Beliau berkata, dana yang disalurkan UNDP digunakan bagi kerja pembersihan kebun, pembelian anak benih, baja, racun perosak dan pengenalan sistem pengairan bagi memastikan tanaman lebih teratur dan produktif.
"Hasil tanaman semakin berkembang dan kami sedang membantu mereka mencari pembeli baharu di Gerik serta Jeli, Kelantan.
"Projek ini bukan sahaja menjana pendapatan, malah mengubah cara berfikir mereka tentang ekonomi,” katanya.
Selain membantu dalam aspek pertanian, pasukan Haluan turut turun padang setiap bulan untuk memberi latihan penyelenggaraan kebun, termasuk teknik pengurusan tanah, pemangkasan dan kaedah mengelak serangan haiwan liar.
Dalam masa sama, Haluan melalui sayap pendidikannya turut menjalankan bengkel literasi bagi kanak-kanak Orang Asli di kampung berkenaan, berikutan kadar buta huruf yang sebelum ini mencecah 97 peratus.
Usaha berterusan selama lima tahun itu kini menampakkan hasil apabila semakin ramai anak-anak Orang Asli berjaya berdaftar di sekolah rendah berhampiran.
Ringkasan AI
- Penanaman limau nipis dan serai meningkatkan ekonomi Orang Asli di Kampung Air Banun melalui projek pertanian komersial
- Projek ini merupakan kerjasama antara UNDP dan Pertubuhan Sukarelawan Haluan Malaysia yang bermula sejak 2013
- Dipilihnya tanaman tersebut kerana kurang diminati oleh haiwan liar dan mempunyai permintaan pasaran
- Tiga saudara Orang Asli memimpin projek ini dan kini menjual sekurang-kurangnya 15 kilogram limau seminggu
- Selain pertanian, Haluan juga menyediakan latihan penyelenggaraan kebun dan menjalankan bengkel literasi bagi kanak-kanak Orang Asli
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

