Orang Asli terima internet, 5GB data percuma setiap bulan

GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli di Kampung Bering Baru di sini kini menikmati akses internet dan 5GB data percuma setiap bulan.
Inisiatif diperoleh hasil proaktif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyediakan perkhidmatan jalur lebar kolektif menggunakan teknologi Broadband Wireless Access (BWA) di kawasan terbabit.
Menurut kenyataan Komunikasi Korporat SKMM, setiap penduduk kampung yang berdaftar layak menerima 5GB data percuma terbabit, selain boleh mendapatkan data tambahan melalui ejen terpilih yang dilantik.
Kata kenyataan itu lagi, langkah tersebut dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan komunikasi kepada komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman.
“Penduduk kampung boleh mengakses internet dan WiFi secara percuma menerusi kemudahan BWA yang telah disediakan,” katanya.
Kampung Bering Baru adalah salah satu daripada 18 lokasi kampung Orang Asli di daerah Gua Musang yang terlibat dalam penambahbaikan liputan bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Bagi penyelesaian jangka panjang, SKMM turut mengenal pasti lokasi berhampiran kampung berkenaan bagi pembinaan menara telekomunikasi baharu, yang telah dimasukkan dalam perancangan pembangunan infrastruktur pelan akan datang.
“SKMM akan terus memantau dan memastikan liputan komunikasi di kawasan ini berada dalam keadaan optimum demi keselesaan penduduk,” menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

