Israel langsung tidak boleh dipercayai

Israel didakwa terus melancarkan serangan udara ke Gaza, dengan sekurang-kurangnya 28 kematian dilaporkan termasuk wanita dan kanak-kanak. - Foto: Reuters
Israel didakwa terus melancarkan serangan udara ke Gaza, dengan sekurang-kurangnya 28 kematian dilaporkan termasuk wanita dan kanak-kanak. - Foto: Reuters
A
A
A

TATKALA dunia meletakkan harapan baharu terhadap pelan damai Gaza yang diumumkan awal bulan ini, Israel sekali lagi membuktikan bahawa rejim Zionis itu sememangnya tidak boleh dipercayai dalam mana-mana perjanjian perdamaian.

Deruman jet tempur dan dentuman serangan udara pada hujung minggu lalu sudah cukup menjadi bukti nyata bahawa komitmen Israel terhadap keamanan hanyalah retorik politik semata-mata.

Pelan damai yang dilancarkan pada 10 Oktober 2025 hasil rundingan bersama Amerika Syarikat, Mesir dan Jordan, sepatutnya menandakan titik tolak kepada pemulihan Gaza.

Ia memperuntukkan penarikan tentera Israel dari beberapa kawasan utama, pembebasan tebusan, serta kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

Namun, belum pun mencecah dua minggu, Israel sudah melanggar semangat perjanjian itu dengan melancarkan serangan ke atas Rafah atas alasan 'membalas serangan Hamas'.

Hakikatnya, ini bukan kali pertama Israel menggunakan alasan keselamatan untuk menghalalkan pelanggaran perjanjian.

Laporan daripada media antarabangsa mendedahkan bahawa walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, Israel mengekalkan kawalan ketat di sempadan Gaza-Mesir serta menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan rakyat Gaza.

Lebih membimbangkan, pelan damai ini sejak awal lagi tidak seimbang. Hamas diminta melucut senjata dan menghentikan serangan sepenuhnya, tetapi Israel tidak dikenakan syarat tegas yang sama.

Ia bebas mentafsir semula setiap klausa mengikut kepentingan sendiri. Pengkaji politik Asia Barat menyifatkan sikap ini sebagai 'strategi dua muka' berunding di meja diplomasi sambil menyiapkan peluru di medan perang.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan The Guardian dan Reuters, sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, Israel telah melakukan sekurang-kurangnya 80 pelanggaran perjanjian dan mengorbankan banyak nyawa rakyat Palestin.

Terbaharu, pada Ahad, tentera Israel melancarkan serangan udara ke selatan Gaza selepas mendakwa dua anggotanya terbunuh dalam serangan roket Hamas. Serangan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 26 penduduk Gaza, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Ironinya, serangan tersebut dilakukan ketika gencatan senjata masih berkuat kuasa dan bantuan kemanusiaan sepatutnya disalurkan tanpa sekatan.

Namun Israel turut menghentikan sementara kemasukan bantuan ke Gaza sebagai langkah 'pembalasan', menyebabkan hospital kehabisan ubat dan bekalan makanan tertangguh. Tindakan itu bukan sahaja melanggar pelan damai, malah jelas bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Sikap ini bukan perkara baharu. Sejarah panjang konflik Palestin-Israel menunjukkan bahawa setiap kali peluang damai muncul, Israel sendiri yang menggagalkannya sama ada melalui tindakan ketenteraan atau manipulasi diplomatik.

Dalam pelan damai terkini, Israel sepatutnya menarik balik tenteranya dari beberapa kawasan Gaza dan memudahkan laluan bantuan, namun kedua-dua komitmen itu gagal dilaksanakan sepenuhnya.

Lebih parah, tiada mekanisme pengawasan bebas yang benar-benar berfungsi untuk memastikan Israel mematuhi perjanjian. Kuasa besar dunia pula memilih untuk sekadar 'menyatakan kebimbangan', tanpa tindakan tegas.

Gencatan senjata yang sepatutnya membawa kelegaan kini menjadi perangkap psikologi rakyat Gaza menunggu serangan seterusnya dalam apa yang kononnya digelar 'masa damai'.

Kebenarannya, Israel hanya percaya kepada kekuatan senjata, bukan kepada kejujuran perjanjian. Selagi dasar penindasan ini diteruskan dan pelanggaran tidak dihukum, maka setiap pelan damai hanyalah helah sementara untuk mengaburi mata dunia.

Gaza sekali lagi menjadi saksi bahawa kepercayaan terhadap Israel hanyalah mimpi yang berulang kali dikhianati. Dan hari ini, lebih daripada sebelumnya, dunia perlu berani mengakui hakikat pahit itu Israel langsung tidak boleh dipercayai.

*Muhammad Shamsul Abd Ghani ialah wartawan Meja Global

Ringkasan AI

  • Israel melanggar pelan damai Gaza dengan serangan ke atas Rafah, menuduh Hamas
  • Pelan damai menuntut pengunduran tentera Israel dan kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa halangan
  • Israel dikritik kerana mengekalkan kawalan ketat sempadan dan menyekat penghantaran bantuan
  • Pelan damai dianggap tidak seimbang dengan Hamas diminta melucut senjata tapi tidak bagi Israel
  • Israel didakwa melakukan sekurang-kurangnya 80 pelanggaran perjanjian sejak gencatan senjata

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!