Malaysia Airlines sekali lagi dinobat APEX Four Star Major Airline

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail
A
A
A

MALAYSIA Airlines sekali lagi dinobatkan APEX Four Star Major Airline dalam 2026 Official Airline Ratings sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan berterusan dalam aspek keselamatan, perkhidmatan dan prestasi operasi.

Syarikat penerbangan nasional itu turut menduduki ranking ke-9 Best Airline in the World menerusi Condé Nast Traveller UK Readers’ Choice Awards 2025 sekali gus mencerminkan kepercayaan dan penghargaan pengembara di seluruh dunia.

Ia merupakan tinjauan tahunan oleh Condé Nast Traveller di mana pembaca mengundi pengalaman perjalanan, hotel, resort, destinasi, bandar, syarikat penerbangan dan pelbagai kategori kegemaran mereka.

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail berkata, pihaknya berbesar hati menerima pengiktirafan bertaraf global ini yang mencerminkan dedikasi tanpa berbelah bahagi warga kerjanya dalam menyampaikan pengalaman luar biasa berteraskan Layanan Malaysia (Malaysian Hospitality).

“Dinobatkan antara 10 syarikat penerbangan terbaik oleh pembaca Condé Nast Traveller dan mengekalkan status kami sebagai Syarikat Penerbangan Utama Empat Bintang APEX mengukuhkan lagi kepercayaan yang diberikan pengembara terhadap kami.”

“Kami akan terus meningkatkan standard perkhidmatan dan memperkukuh kedudukan sebagai antara syarikat penerbangan terbaik di dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia Airlines turut menonjolkan kepimpinan dalam bidang penerbangan dan pengalaman jenama apabila meraih dua anugerah berprestij di Asian Experience Awards 2025 di Singapura, iaitu Malaysia Brand Experience of the Year (kategori Syarikat Penerbangan) dan Malaysia Brand Experience of the Year (kategori Penerbangan) melalui projek Elevating Brand Experience Through Commercial Strategic Elevation Transformation.

Buat pertama kalinya sebuah syarikat penerbangan menerima anugerah bagi strategi peningkatan komersial menyeluruh yang menggabungkan pembuatan keputusan berasaskan data, pemasaran inovatif, dan pelaksanaan jualan berorientasikan prestasi di bawah satu wawasan holistik.

Menerusi transformasi ini, Malaysia Airlines telah mentakrif semula pendekatan pemasaran, jualan dan penglibatan pelanggan dengan melancarkan siri kempen jualan serta pemasaran sehingga mencatatkan keputusan memberangsangkan di pasaran global.

Artikel Berkaitan:

Malaysia Airlines turut meraih Big Bang Award di YouTube Works Awards Malaysia 2025 menerusi kempen “Malaysia Airlines: Epicurean Journey to Chiang Mai” yang meraikan kreativiti, inovasi dan keterlibatan digital melalui penceritaan asli dalam bentuk dokumentari perjalanan.

Siri tersebut menggambarkan bahawa sebuah perjalanan itu lebih daripada sekadar destinasi, ia merangkumi rasa tempatan yang meninggalkan kenangan, pasar yang meriah dengan kehidupan, tradisi yang menginspirasikan serta kehangatan masyarakat yang menyambut dengan hati terbuka.

Menyerlahkan lagi kecemerlangan kreatif kumpulan MAG, MAB Engineering Services turut membawa pulang Marketing Campaign of the Year Award 2025 di Aviation Week Network MRO Asia-Pacific Awards menerusi kempen “Second TakeOff.”

“Second TakeOff” meraikan kebangkitan semula jenama MAB Engineering, menampilkan perjalanan transformasinya serta komitmen baharu terhadap kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan penerbangan.

Pengiktirafan ini menyerlahkan kekuatan penceritaan strategik dan pendekatan inovatif kempen tersebut dalam memposisikan syarikat sebagai rakan MRO (Maintenance, Repair and Overhaul) yang dipercayai serta berpandangan jauh dalam industri penerbangan global.

Komitmen kumpulan terhadap kreativiti dan inovasi turut diiktiraf di Malaysia Business Events Awards (MBEA) 2025, apabila MAG Arena semasa MATTA April 2025 memenangi anugerah Booth Design Excellence, kategori Double Deck atas rekaan reruai yang menarik perhatian.

Menerusi pelbagai anugerah dan inisiatif ini, MAG terus memperkukuh reputasinya sebagai kumpulan penerbangan terkemuka yang menggabungkan inovasi, kecemerlangan serta keupayaan menyampaikan pengalaman pelanggan yang luar biasa di samping mencapai pertumbuhan mampan dan menguntungkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!