Suami dua beranak mati dibunuh direman seminggu

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan seorang lelaki dipercayai suami mangsa bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat dua beranak dalam kejadian bunuh di Kampung Sekolah Juru di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi berkata, lelaki itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurutnya, setakat ini pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan motif sebenar kejadian.
Sementara itu, mayat dua beranak berkenaan telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat.
Terdahulu, mayat wanita dan anak perempuannya dibawa keluar dari rumah sewa mereka kira-kira jam 1.45 pagi selepas pasukan forensik dan patologi selesai menjalankan siasatan di lokasi.
Pemeriksaan di sekitar rumah turut dilakukan pihak polis bagi mencari bahan bukti yang dapat membantu siasatan kes berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan mayat wanita berusia 51 tahun bersama anak perempuannya berusia 11 tahun ditemukan suaminya pada jam 7.30 malam di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, di sini.
Difahamkan, mayat wanita itu ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus, manakala anaknya ditemukan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Ringkasan AI
- Polis menahan lelaki dipercayai suami mangsa untuk membantu siasatan pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah Juru
- Lelaki tersebut direman selama tujuh hari
- Siasatan masih berjalan untuk mengenal pasti suspek dan motif
- Mayat ditemukan dalam rumah sewa, dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat
- Mayat wanita dan anaknya ditemukan dalam keadaan tragis, wanita dengan kepala hampir putus di dapur dan anaknya berlumuran darah di tingkat atas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

