Tidak puas hati campur urusan rumah tangga punca rumah dibakar

KUALA LUMPUR – Tidak berpuas hati terhadap campur tangan keluarga dalam konflik rumah tangga dipercayai menjadi punca seorang lelaki membakar rumah abang iparnya dalam kejadian di Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, suspek dipercayai bertindak melakukan khianat dengan api selepas menuduh mangsa merosakkan rumah tangganya sehingga menyebabkan dia dan isterinya berada dalam proses perceraian.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan lelaki berusia 40 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan menerima panggilan daripada adik perempuannya.
Menurutnya, wanita berkenaan memaklumkan bahawa suaminya berada di hadapan rumah mangsa untuk mengambil semula barang miliknya.
“Apabila mangsa membuka pintu, suspek menjerit serta menuduh mangsa merosakkan rumah tangganya.
“Bagi mengelakkan pergaduhan, mangsa membenarkan suspek masuk ke rumah untuk mengambil barang sebelum mangsa beredar ke hujung tangga blok,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, tidak lama kemudian, mangsa dimaklumkan oleh jiran bahawa rumahnya telah terbakar sebelum menghubungi pihak bomba.
Menurutnya, kebakaran berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian.
Mohd Rosdi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan seorang lelaki berusia 34 tahun pada jam 11.25 pagi hari yang sama.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah,” katanya.
Beliau berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Ringkasan AI
- Tidak puas hati dengan campur tangan keluarga dalam konflik rumah tangga diduga menjadi penyebab seorang lelaki membakar rumah abang iparnya di PPR Desa Tun Razak
- Suspek nekad membakar rumah setelah menuduh mangsa merosakkan rumah tangganya
- Mangsa yang berusia 40 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan menerima panggilan daripada adiknya sebelum kejadian
- Suspek, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan oleh polis dan didapati positif dadah
- Kebakaran rumah berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

