Hampir 140,000 kes tangkapan ular direkodkan sepanjang 2025 di seluruh negara

GEORGE TOWN – Kes tangkapan ular yang direkodkan di seluruh negara dianggarkan mencecah hampir 140,000 kes sepanjang tahun lalu sekali gus menjadikannya antara kes tertinggi yang dikendalikan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain kes perubatan dan kemalangan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman berkata, angka itu berdasarkan anggaran purata kira-kira 10,000 kes bagi setiap negeri.
Menurutnya, ia yang menunjukkan isu melibatkan kehadiran reptilia berkenaan masih berada pada tahap membimbangkan khususnya di kawasan penempatan penduduk.
"Bagi Pulau Pinang sahaja, sebanyak 8,193 kes tangkapan ular direkodkan sepanjang tahun lalu dengan trend peningkatan dijangka berterusan susulan cuaca panas yang melanda sejak kebelakangan ini," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perbarisan Pembukaan Latihan APM Pulau Pinang 2026 di Pejabat APM Pulau Pinang di sini pada Rabu.
Turut hadir, Pengarah Pertahanan Awam Pulau Pinang, Lokman Hakim Abdul Rahman.
Tambah Ghazali, walaupun Monsun Timur Laut belum berakhir sepenuhnya, keadaan cuaca panas dan kering sejak satu hingga dua bulan lalu telah menjejaskan habitat semula jadi haiwan, sekali gus menyebabkan ular keluar ke kawasan perumahan untuk mencari perlindungan dan sumber makanan.
“Cuaca panas dan pembangunan pesat menjadi antara faktor utama peningkatan kes.
"Apabila habitat terganggu, ular akan bergerak ke kawasan penempatan manusia,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang malah turut melibatkan beberapa negeri lain termasuk Johor dan Selangor.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kes tangkapan ular di peringkat nasional melibatkan pelbagai spesies termasuk ular sawa dan ular berbisa dengan kebanyakannya direkodkan di kawasan taman perumahan yang berhampiran hutan atau kawasan hijau.
“Kawasan berkepadatan penduduk tinggi serta pembangunan pesat seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang antara yang mencatatkan kes lebih tinggi berbanding kawasan lain,” ujarnya lagi.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa operasi tangkapan ular tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi impak besar terhadap keselamatan awam.
“Dengan menangkap seekor ular, kita sebenarnya berpotensi menyelamatkan sebuah keluarga atau beberapa keluarga dalam satu kawasan perumahan.
Ini adalah naratif baharu yang ingin kami ketengahkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, APM menggalakkan laporan media agar turut menekankan aspek pencegahan risiko dan jumlah nyawa yang berpotensi diselamatkan hasil operasi tangkapan ular, sama seperti pendekatan laporan kebakaran.
Mengulas aspek keselamatan anggota, beliau berkata, statistik kecederaan semasa operasi tangkapan ular adalah rendah iaitu kurang daripada 10 kes setahun bagi sesebuah negeri.
“Kebanyakan anggota mematuhi prosedur operasi standard namun penambahbaikan akan terus dilakukan terutama daripada segi penggunaan peralatan perlindungan diri serta latihan khususnya semasa proses pemindahan haiwan,” jelasnya.
"Sementara itu, bagi Januari tahun ini sahaja, Pulau Pinang merekodkan sebanyak 669 kes tangkapan ular sekali gus menunjukkan isu berkenaan masih kekal sebagai antara kes tertinggi yang ditangani APM di negeri ini," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, APM kini sedang menyediakan pelan hala tuju atau 'blueprint' pembangunan agensi itu bagi menghadapi cabaran masa hadapan.
Menurutnya, 'blueprint' berkenaan akan merangkumi aspek struktur organisasi, penjawatan, logistik serta semakan semula fungsi APM berdasarkan Akta 221 yang memperuntukkan 21 fungsi utama agensi tersebut.
“Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh saya sendiri melibatkan wakil daripada peringkat pusat, negeri dan daerah bagi melakukan semakan secara menyeluruh,” katanya.
Ringkasan AI
- Hampir 140,000 kes tangkapan ular direkodkan sepanjang 2025 di seluruh negara, menjadi antara kes tertinggi yang dikendalikan oleh APM
- Pulau Pinang mencatatkan 8,193 kes, dengan cuaca panas dan pembangunan pesat sebagai faktor utama peningkatan kes
- Kawasan berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mencatatkan kes lebih tinggi
- Operasi tangkapan ular berpotensi menyelamatkan nyawa dan tidak boleh dipandang ringan
- APM sedang menyediakan 'blueprint' pembangunan agensi untuk menghadapi cabaran masa hadapan, termasuk aspek struktur organisasi dan logistik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

