Wanita tumbuk suspek cuba samun di stesen minyak

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila cuba disamun dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, Ahad lalu.
Bagaimanapun, tindakan suspek gagal apabila lelaki terbabit ditumbuk oleh mangsa dan rakannya yang berada di dalam kenderaan berkenaan sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.30 pagi daripada mangsa berusia 25 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi ketika mangsa bersama rakannya berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar kenderaan.
“Seorang lelaki menaiki motosikal dipercayai menghampiri kenderaan mangsa sebelum cuba membuka pintu kereta untuk mengambil beg tangan yang berada di dalam kenderaan.
“Mangsa bersama rakannya bertindak menghalang suspek daripada membuka pintu kenderaan sebelum berlaku pergelutan antara mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa dipercayai ditumbuk oleh suspek pada bahagian tangan dan kepala.
“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal dan tidak sempat melarikan sebarang barangan berharga atau wang tunai milik mangsa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati motosikal yang digunakan suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Polis telah menghasilkan lakaran fotofit suspek yang dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan.
“Usaha mengesan dan memburu suspek sedang giat dijalankan dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Ringkasan AI
- Seorang wanita nyaris disamun di stesen minyak TTDI
- Suspek melarikan diri setelah gagal menyamun dan ditumbuk oleh mangsa dan rakannya
- Polis menerima laporan kejadian pada jam 8.30 pagi
- Suspek menggunakan motosikal dengan nombor pendaftaran palsu
- Polis sedang mengesan suspek dengan bantuan lakaran fotofit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

