KADA perlukan empangan tangani banjir di kawasan sawah

Khalid (kiri) turut sama memeriah sambutan Hari Sukan Negara 2025 Peringkat KADA yang diadakan di Pusat Latihan Pertanian (PLP) Jambu Merah di Kota Bharu pada Isnin. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Khalid (kiri) turut sama memeriah sambutan Hari Sukan Negara 2025 Peringkat KADA yang diadakan di Pusat Latihan Pertanian (PLP) Jambu Merah di Kota Bharu pada Isnin. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memerlukan pembinaan sebuah empangan bagi menangani masalah banjir yang sering melanda kawasan jelapang padi di bawah seliaan agensi berkenaan.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad bagaimanapun berkata, perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), manakala tanggungjawab KADA adalah memastikan bekalan air ke sawah mencukupi.

"Namun, urusan mengawal banjir berada di luar bidang kuasa kita. Setakat ini, KADA telah mengemukakan cadangan pembinaan empangan berkenaan kepada pihak atasan agar dimasukkan dalam RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13) melalui perancangan JPS.

"Walaupun pelbagai langkah telah dilakukan bagi meningkatkan keupayaan pengairan untuk menghadapi musim kemarau, persiapan bagi menangani musim tengkujuh masih lagi terhad kerana memerlukan infrastruktur berskala besar.

"Masalah yang sering dihadapi ialah kita banyak buat persiapan untuk kemarau, seperti menambah pam air dari sungai dan sebagainya. Tetapi untuk banjir, agak sukar kerana kita perlukan satu empangan yang boleh digunakan untuk menampung air berlebihan pada musim tengkujuh," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Sebelum itu, beliau merasmikan Hari Sukan Negara 2025 peringkat KADA yang diadakan di Pusat Latihan Pertanian (PLP) Jambu Merah di sini.

Menurut beliau, KADA hanya boleh membantu dengan membawa pam untuk mengeringkan kawasan terjejas, namun usaha menghalang banjir daripada berlaku memerlukan kemudahan yang lebih menyeluruh.

Ujarnya, kebimbangan utama kini tertumpu kepada ancaman banjir yang boleh menjejaskan hasil padi sekiranya tiada tindakan jangka panjang diambil.

Khalid memaklumkan, setakat ini belum ada satu projek yang benar-benar dirancang untuk menangani banjir di kawasan jelapang padi dan berharap perkara tersebut diberi perhatian serius.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau berkata, KADA kini giat menyiapkan beberapa projek naik taraf sistem pengairan bagi mengatasi isu kekurangan air yang sering dibangkitkan oleh pesawah sebelum ini.

"Kita sedang melaksanakan projek Kemubu Tiga dan Empat, selain pembinaan rumah pam baharu di Lemal, Kasar di Pasir Mas dan beberapa lokasi lain.

"Insya-ALLAH, hujung tahun ini semua projek itu akan siap sepenuhnya dan untuk musim kedua 2025 nanti, kita lebih yakin masalah bekalan air ke bendang dapat diatasi,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • KADA memerlukan sebuah empangan untuk menangani masalah banjir di kawasan jelapang padi
  • Masalah banjir di luar bidang kuasa KADA, tanggungjawab utama adalah memastikan bekalan air cukup ke sawah
  • Cadangan pembinaan empangan telah dikemukakan untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 melalui JPS
  • Persiapan menghadapi musim tengkujuh terhad kerana infrastruktur yang ada tidak mencukupi
  • KADA giat menyiapkan projek naik taraf pengairan bagi mengatasi isu kekurangan air bagi pesawah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!