Kedah diberi kelonggaran kecilkan kawasan tanaman padi - Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling hari ini. Foto Bernama
A
A
A

BALING - Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi kelonggaran kepada Kedah untuk mengecilkan sedikit kawasan tanaman padi bagi tujuan pembangunan komersial, khususnya di sekitar bandar raya Alor Setar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas rundingan dengan kerajaan negeri yang memohon ruang untuk memperluaskan kawasan industri, perumahan dan komersial tanpa menjejaskan kedudukan Kedah sebagai jelapang padi negara.

Menurutnya, ini antara faedah yang dicapai hasil adanya rundingan bagi manfaat semua pihak.

“Saya bagi pandangan dan Jemaah Menteri setuju untuk kita perluaskan sikit, kurangkan kawasan jelapang padi. Perluaskan sedikit di sekitar Alor Setar.

“Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sedang berunding bagi memastikan kawasan baru supaya keperluan negeri dari segi industri, perumahan dan komersial dapat dijamin,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Madani Rakyat di Majlis Daerah Baling pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Anwar berkata, kerajaan Persekutuan turut menyalurkan peruntukan awal RM1 bilion bagi projek tebatan banjir dan baik pulih sistem tali air yang menelan kos keseluruhan lebih RM5 bilion.

Anwar (tengah) menyampaikan bantuan peranti Madani kepada pelajar terpilih sempena Program Madani Rakyat di Majlis Daerah Baling pada Sabtu.
Anwar (tengah) menyampaikan bantuan peranti Madani kepada pelajar terpilih sempena Program Madani Rakyat di Majlis Daerah Baling pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

“Kalau tidak baiki sistem tali air, kita tidak boleh harap hasil tanaman padi meningkat.

"Alhamdulillah, saya pantau perjalanan projek ini sejak beberapa bulan lalu dan ada kemajuan,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan baharu kerajaan kini lebih terbuka untuk mendengar pandangan negeri berhubung keutamaan projek pembangunan.

“Belum pernah dalam sejarah Perdana Menteri turun ke negeri, dengar suara negeri dan buat pelarasan dalam Rancangan Malaysia serta Belanjawan. Inilah faedahnya bila ada rundingan,” jelasnya.

“Dalam Belanjawan negara pun begitu, saya minta supaya projek baharu tahun 2026 ambil kira pandangan Persekutuan dan juga negeri. Kita ada keutamaan, kita juga dengar pandangan dari negeri.

"Negeri kata ada keutamaan begini, jadi kita boleh ubah suai, kita sesuaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, jumlah peruntukan kepada Kedah meningkat daripada RM7.1 bilion pada 2021 kepada RM9.7 bilion pada 2025, manakala pemberian khas turut bertambah daripada RM451 juta kepada RM540 juta dalam tempoh sama.

Selain itu, perbelanjaan pembangunan negeri melonjak daripada RM1.48 bilion (2021) kepada RM2.24 bilion (2025) dengan pelaksanaan beberapa projek utama.

“Projek-projek pembangunan utama Kedah termasuk Skim Pemindahan Air Jeniang, dengan anggaran kos RM922 juta.

“Pembangunan Kawasan Perindustrian & Hab Logistik NCER di Sidam (RM700 juta),

Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit (RM641 juta), Rubber City di Ladang Ketapang (RM628 juta) serta pembinaan bangunan tambahan Hospital Kulim (RM588 juta)” jelasnya.

Menurutnya, projek lain termasuk menaiktaraf laluan tujuh dari Lencongan Barat ke Simpang Tiga Kemboja dengan anggaran kos RM575 juta dan pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi (RM515 juta).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!