MADA minta Kedah pertimbang semula pembangunan di jelapang padi hasil tinggi

Ismail (tengah) ketika sidang akhbar pada Khamis.
Ismail (tengah) ketika sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah diminta menilai semula cadangan pembangunan tanah di kawasan jelapang padi, khususnya di lokasi yang mempunyai potensi hasil tinggi serta lengkap dengan kemudahan pengairan dan infrastruktur pertanian.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, walaupun pihaknya memahami keperluan kerajaan negeri untuk menjana pendapatan melalui pembangunan tanah, langkah tersebut perlu dilaksanakan secara terancang agar tidak menjejaskan sekuriti makanan negara.

“Kami faham cabaran pendapatan yang dihadapi kerajaan negeri, namun pembangunan seharusnya difokuskan kepada kawasan yang kurang strategik dan hasilnya rendah.

"Jika kawasan yang sudah lengkap dengan sistem pengairan dan jalan ladang dibangunkan, ia satu kerugian besar kerana pelaburan itu menggunakan wang rakyat,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Penetapan Jadual Penanaman Padi Musim Kedua 2025 di Ibu Pejabat MADA, di sini.

Ismail mengulas cadangan pembangunan tanah oleh kerajaan Kedah melibatkan lebih 15,000 hektar tanah sawah MADA termasuk kawasan yang telah dizonkan untuk pembangunan di bawah Pelan Struktur Negeri Kedah 2035–2050.

Antara kawasan jelapang padi MADA yang banyak terlibat ialah di daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Yan.

Menurut Ismail, dalam tempoh 50 tahun lalu, Kedah telah kehilangan 8,758 hektar tanah sawah akibat penukaran guna tanah.

"Sekiranya cadangan baharu ini diluluskan sepenuhnya, negeri ini bakal kehilangan lebih 15,000 hektar lagi, sekali gus memberi kesan besar kepada pengeluaran padi negara," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam usaha menampung sebarang kehilangan kawasan pertanian, MADA kini giat melaksanakan dua strategi utama iaitu membuka kawasan baharu dan meningkatkan hasil per hektar di kawasan sedia ada.

Kata Ismail, setakat ini sebanyak 39 skim baharu di luar jelapang telah dikenal pasti melibatkan 10,038 hektar tanah sawah untuk dijadikan kawasan MADA Baharu.

Selain itu, 13 skim sedia ada turut dimasukkan ke dalam kawasan MADA melalui program MADA Plus melibatkan 4,127 hektar.

“Kita telah serahkan lima skim pertama berkeluasan 1,500 hektar untuk kelulusan akhir. Jika semuanya berjalan lancar, keluasan kawasan MADA boleh meningkat daripada 100,641 hektar kepada lebih 110,000 hektar dalam beberapa tahun akan datang,” katanya lagi.

MADA turut menyasarkan peningkatan hasil melalui penanaman lima musim dalam tempoh dua tahun serta pelaksanaan Penanaman Padi Skala Besar (PPSB).

Musim ini, sasaran hasil ialah enam tan sehektar, dengan harapan 30 peratus kawasan sawah MADA akan menyertai program lima musim dalam masa terdekat, tertakluk kepada bajet tambahan dan kelengkapan infrastruktur.

Jelas Ismail, MADA sentiasa terbuka untuk berbincang dengan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan bagi memastikan pembangunan dilakukan secara seimbang tanpa menjejaskan kepentingan pertanian negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!