KPM perlu semak prosedur keselamatan, pastikan sekolah tempat selamat- Lam Thye

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan digesa menyemak semula prosedur keselamatan, mempertingkatkan pengawasan di kawasan sekolah serta memastikan khidmat kaunseling dan saluran aduan sulit disediakan kepada pelajar yang menjadi mangsa atau saksi kejadian salah laku, susulan kes pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Melaka yang dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir dua pelajar senior.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya turut menggesa agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus, di samping mengambil tindakan disiplin serta undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab, termasuk memberi bantuan serta sokongan menyeluruh kepada mangsa.

Menurutnya, kejadian yang berlaku di dalam bilik darjah tidak boleh diterima sama sekali dan mencerminkan kelemahan dalam aspek pengawasan, pendidikan moral serta kesedaran tentang rasa hormat dan keizinan dalam pergaulan antara pelajar.

“Kes ini amat mengejutkan dan antara yang pertama seumpamanya. Ia mencerminkan keruntuhan moral dan disiplin yang perlu diberi perhatian segera.

“Sekolah seharusnya menjadi tempat yang selamat untuk pembelajaran dan pembentukan sahsiah pelajar. Setiap anak berhak untuk berasa selamat di sekolah, dan tindakan tegas perlu diambil bagi memulihkan kepercayaan terhadap sistem pendidikan kita.

“Insiden ini harus menjadi peringatan keras kepada semua pihak — ibu bapa, pendidik dan pihak berkuasa untuk memperkukuh pembangunan moral dan emosi anak-anak kita,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, selain pencapaian akademik, penekanan yang lebih besar perlu diberikan kepada pembentukan sahsiah, nilai-nilai murni serta pemahaman tentang batasan dan tanggungjawab diri.

Justeru, beliau berkata, ibu bapa juga memainkan peranan penting dengan berkomunikasi secara terbuka dengan anak-anak tentang nilai murni, akhlak, serta kesan daripada perbuatan salah.

“Masyarakat pula perlu lebih prihatin dalam memastikan persekitaran bebas daripada keganasan seksual, dengan menekankan aspek pendidikan, bimbingan dan pencegahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, pelajar perempuan terbabit dilapor mengalami trauma termasuk enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir dua pelajar senior.

Lebih menjijikkan, perbuatan itu turut dirakam dan disaksikan oleh dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kelas di Alor Gajah, kira-kira jam 2.50 petang, minggu lalu.

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan disarankan menyemak semula prosedur keselamatan dan meningkatkan pengawasan di sekolah
  • Kes rogol bergilir oleh pelajar senior kepada pelajar perempuan menunjukkan kelemahan aspek pengawasan dan moral
  • Setiap anak berhak rasa selamat di sekolah, tindakan tegas perlu bagi memulihkan kepercayaan terhadap sistem pendidikan
  • Perkembangan moral dan emosi anak-anak perlu diperkukuh
  • Ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan penting dalam pendidikan nilai murni dan pencegahan keganasan seksual

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!