[VIDEO] KPM minta MCMC sekat penularan video kes rogol pelajar sekolah
SUNGAI PETANI - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat penularan video berkaitan kes rogol membabitkan pelajar yang disyaki berlaku di sebuah sekolah di Melaka.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan video berkenaan tidak terus disebarkan kerana membabitkan aib pelajar terbabit.
“Kita sudah minta kementerian berkaitan untuk mengambil tindakan, memastikan bahawa isu ini tidak disebarkan kerana melibatkan anak-anak murid dan pelajar kita.
“Jadi, kita minta kefahaman masyarakat juga bahawa ini anak-anak bawah umur yang mesti dilindungi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Lalang di Ambangan Heights di sini pada Sabtu.
Jelas Fadhlina, kementerian tidak akan berkompromi dan akan meneruskan siasatan dalaman dari segala aspek berhubung kejadian terbabit.

“Kita sedang menjalankan siasatan dan ini sudah menjadi bidang kuasa pihak autoriti... ini adalah kes yang sangat serius.
“Kementerian Pendidikan Malaysia melihat keseluruhan aspek apa yang perlu kita tangani pasca kes ini dan kita akan maklumkan kepada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad.
“Insya-ALLAH, esok kita akan turun ke Melaka untuk memastikan isu ini dapat ditangani dengan segera,” katanya.
Beliau dalam masa sama kesal dengan kejadian yang berlaku dan memberi jaminan akan memberi sepenuh perhatian serta memantau situasi dengan lebih dekat.
“Pertama, kita dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa pelaku telah pun direman dan ditahan. Mangsa ketika ini sedang mendapatkan sokongan psikososial serta rawatan di hospital.
“Manakala dari aspek keselamatan sekolah, Dr Mohd Azam telah mengarahkan Pengarah Pendidikan Negeri Melaka untuk mengambil tindakan segera memastikan semua sokongan dalam kalangan pelajar dan juga keselamatan dipertimbangkan, termasuk memastikan semua anak-anak serta guru diberikan bimbingan segera berkaitan kes ini kerana sudah pun tular,” katanya.
Bagaimanapun, jelas beliau, sesi persekolahan di sekolah terbabit berjalan seperti biasa dan tumpuan dari aspek keselamatan membabitkan pelajar serta guru akan diberikan, terutama menjelang peperiksaan yang akan datang.
“Kita tahu sekolah ini juga akan menghadapi peperiksaan dan masih lagi beroperasi seperti biasa. Jadi, sekolah mesti menumpukan perhatian penuh terhadap isu keselamatan dan memberikan bimbingan psikososial sepenuhnya kepada semua murid dan guru berkaitan kes ini,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Melaka mengalami trauma termasuk enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir dua pelajar senior.
Lebih menjijikkan, perbuatan itu dirakam dan disaksikan dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kelas di Alor Gajah kira-kira jam 2.50 petang minggu lalu.
Sumber berkata, kejadian pada 2 Oktober itu terbongkar selepas video aib perbuatan tidak bermoral itu tersebar dalam kalangan pelajar sebelum dimaklumkan kepada guru dan seterusnya diketahui ibu mangsa pada petang Jumaat.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa berusia 15 tahun berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran Sains yang tertinggal.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Malaysia minta MCMC sekati penularan video kes rogol pelajar di Melaka
- Fadhlina Sidek nyatakan tindakan itu bagi melindungi aib pelajar
- Kementerian tidak akan berkompromi dan teruskan siasatan daripada segala aspek
- Pelaku kes telah direman dan mangsa mendapat sokongan psikososial
- Sekolah terbabit masih beroperasi seperti biasa dengan fokus penuh pada keselamatan dan bimbingan psikososial murid serta guru
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

