Pelajar terlibat salah laku akan ikuti kelas pemulihan khas - Exco Melaka

MELAKA – Pelajar yang terlibat dalam kes salah laku termasuk jenayah di sekolah akan mengikuti sesi khas pemulihan dan motivasi bagi membentuk sahsiah serta meningkatkan kesedaran diri.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, program berkenaan akan dijalankan di luar waktu persekolahan dengan kerjasama agensi kerajaan dan institusi berkaitan termasuk Jabatan Tenaga Nasional (JTN) serta pihak berwajib.
“Kes telah berlaku dan proses siasatan serta tindakan undang-undang sedang dijalankan oleh pihak polis.
“Namun sebagai langkah susulan, kita akan laksanakan sesi pendidikan tambahan termasuk motivasi dan kelas berkaitan kesalahan jenayah serta isu sosial,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka pada Ahad.
Sekitar jam 9.45 pagi tadi, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tiba di JPN bagi menghadiri satu taklimat khas berhubung kes seorang pelajar Tingkatan Tiga yang disyaki dirogol oleh dua pelajar senior, sambil perbuatan aib itu disaksikan dan dirakam oleh dua lagi pelajar senior lain seperti dilaporkan media pada Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, sesi khas tersebut penting untuk mengesan pelajar berisiko lebih awal, selain mencegah mereka daripada terlibat dalam gejala sosial atau jenayah yang lebih serius pada masa akan datang.
“Pendekatan melalui program sedia ada seperti Wacana Literasi Undang-undang Remaja (WLUR) yang telah dilaksanakan di beberapa sekolah sebelum ini juga akan diperluas.
“Fokus kali ini adalah memberikan pendedahan secara lebih menyeluruh kepada pelajar. Sesi luar waktu sekolah ini akan dijalankan secara berterusan bagi membentuk kesedaran terhadap akibat perbuatan mereka,” jelasnya.
Mengulas mengenai isu surau di sekolah, Rahmad menegaskan bahawa aktiviti kerohanian dan pengisian rohani masih berjalan seperti biasa dan tidak pernah dihentikan.
“Sesi pengisian rohani tetap dijalankan oleh guru-guru agama dan ustaz di sekolah. Cuma pendekatan mungkin berbeza mengikut kesesuaian,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan penting ibu bapa dalam mendidik anak-anak, khususnya dalam menghadapi cabaran dunia digital dan pengaruh media sosial masa kini.
“Ibu bapa perlu lebih peka. Ramai remaja terpengaruh dengan kandungan di media sosial yang memberi kesan negatif terhadap pemikiran dan tindakan mereka.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada guru untuk membentuk anak-anak. Didikan di rumah sangat penting,” tegasnya.
Ringkasan AI
- Pelajar yang terlibat dalam kes salah laku atau jenayah di sekolah akan mengikuti sesi pemulihan dan motivasi
- Program ini melibatkan agensi kerajaan dan akan dijalankan di luar waktu persekolahan
- Sesi pendidikan tambahan dan motivasi dirancang sebagai langkah susulan kepada proses siasatan polis
- Sesi tersebut bertujuan untuk mengesan dan mencegah pelajar daripada terlibat dalam gejala sosial atau jenayah di masa depan
- Rahmad menekankan peranan penting ibu bapa dalam mendidik anak-anak menghadapi pengaruh media sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

