KPWKM sedia beri khidmat kaunseling kepada keluarga pelajar mangsa rogol

Nancy ketika berucap selepas Larian Kasih Fun Run KPWKM anjuran YKN di DBKL di Kual Lumpur pada Ahad.
Nancy ketika berucap selepas Larian Kasih Fun Run KPWKM anjuran YKN di DBKL di Kual Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia memberikan sokongan psikososial termasuk khidmat kaunseling kepada keluarga remaja perempuan yang menjadi mangsa rogol dua pelajar senior di sebuah sekolah menengah di Melaka baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian melalui pegawai pelindung dan kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertindak segera sebaik menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan.

“Seperti biasa, kita terus bertindak. Pegawai pelindung kita sudah pergi ke hospital semalam dan hari ini kaunselor akan melawat keluarga mangsa.

“Bagaimanapun, kita beri ruang kepada keluarga serta pihak polis untuk menjalankan siasatan. Jika keluarga memerlukan bantuan lanjut, terutamanya jika berdepan trauma, kita sentiasa bersedia membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Larian Kasih Fun Run KPWKM anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Melaka mengalami trauma termasuk tidak mahu ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir dua pelajar senior.

Lebih menjijikkan perbuatan tersebut dirakam dan dilihat dua pelajar lain menggunakan telefon bimbit dalam kejadian di sebuah kelas di Alor Gajah kira-kira jam 2.50 petang pada minggu lalu.

Sumber berkata, kejadian pada 2 Oktober itu terbongkar selepas video aib perbuatan tidak bermoral itu tersebar dalam kalangan pelajar sebelum dimaklumkan kepada guru dan seterusnya diketahui ibu mangsa pada petang Jumaat.

Mengulas lanjut, Nancy memaklumkan pihaknya memandang serius kejadian tersebut kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak mendapatkan pendidikan.

Artikel Berkaitan:

“Saya tiada anak di sekolah menengah tapi saya pun berasa bimbang kerana anak-anak dan cucu kita semuanya pergi ke sekolah.

"Jika sekolah sudah tidak lagi menjadi tempat yang selamat, apa akan jadi kepada masyarakat kita?” ujarnya.

Menurut beliau, KPWKM akan terus memperkukuh program advokasi dan keibubapaan (parenting) bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa serta pelajar mengenai keselamatan dan nilai moral.

“Kita memang ada program keibubapaan, tapi kebiasaannya golongan yang kita sasar tidak hadir. Namun, kita tidak akan berputus asa.

“Justeru, pihak kementerian juga bekerjasama dengan pihak polis dalam aspek advokasi supaya anak-anak tahu kesan terhadap masa depan mereka sekiranya terlibat salah laku sebegini,” katanya.

Jelas ahli Parlimen Santubong itu lagi, kementerian melalui agensi di bawahnya juga akan tetap turun ke sekolah-sekolah bagi melaksanakan kempen pendidikan dan kaunseling di samping menumpukan aspek pembentukan sahsiah pelajar.

“Kami akan terus menjalankan program di sekolah agar pelajar dapat memahami nilai dan batas tingkah laku yang sesuai.

“Diharapkan semua pihak, termasuk keluarga dan komuniti dapat memainkan peranan bersama bagi membentuk persekitaran yang sihat dan selamat untuk anak-anak kita,” jelas Nancy.

Ringkasan AI

  • KPWKM bersedia memberikan bantuan psikososial dan khidmat kaunseling kepada keluarga remaja perempuan yang dirogol senior di Melaka
  • Pegawai pelindung dan kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak segera setelah menerima maklumat kejadian
  • Kejadian rogol berlaku di sebuah sekolah di Alor Gajah dan melibatkan perekaman video oleh dua pelajar lain
  • Menteri memandang serius insiden tersebut dan menekankan sekolah sebagai tempat yang seharusnya selamat
  • KPWKM akan memperkukuh program advokasi dan keibubapaan untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan nilai moral

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!