Kuasa tentera di kala Covid-19

A
A
A

SEMENJAK Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan bermula 18 Mac yang lalu, kesedaran masyarakat kita masih lemah mengenai keperluan untuk mengehadkan pergerakan mereka keluar rumah.

Pada 19 Mac, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa hanya 60 peratus rakyat yang mematuhi perintah tersebut.

Ini menyebabkan kerajaan mengerahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu pihak polis dalam memastikan rakyat mematuhi arahan duduk di rumah bermula 22 Mac lalu.

Namun, apa yang menjadi pertanyaan ramai pihak hari ini adalah apakah kuasa ATM? Adakah kuasa ATM sama dengan kuasa polis atau mana-mana pihak berkuasa di negara ini? Adakah undang-undang tentera akan mengambil alih undang-undang negara?ATM ketika ini hanya menjalankan tugas sekunder pada waktu aman iaitu membantu pihak berkuasa awam memelihara keamanan negara.

Oleh itu, ATM tidak mempunyai kuasa penuh dalam menjalankan tugas-tugasnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan ini. Kuasa atau bidang kuasa tentera hanya akan berfungsi secara penuh apabila darurat diisytiharkan.

Pada tahun 2005, kerajaan pernah mengisytiharkan darurat jerebu di seluruh kawasan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang selepas kedua-dua kawasan tersebut masing-masing mencapai tahap pencemaran yang tinggi.

Walaupun tidak mustahil untuk kerajaan hari ini mengisytiharkan darurat berkenaan Covid-19, namun ini tidak bermaksud ATM akan mengambil alih pentadbiran dan operasi negara, dan tidak juga bermaksud perintah darurat ini akan memberikan sebarang impak kepada pemerintahan negara.

Seksyen 18 Akta Majlis Keselamatan Negara (Akta MKN) memberikan kuasa kepada Perdana Menteri untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan bagi bencana, manakala Perkara 25 Arahan Mengenai Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana (Arahan No. 20), Majlis Keselamatan Negara telah menetapkan bahawa pengisytiharan darurat bencana boleh dibuat oleh Perdana Menteri atas syor Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat manakala Perkara 4(12) Arahan No. 20 turut menetapkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia mempunyai kuasa sebagai agensi peneraju dalam menangani bencana wabak penyakit berjangkit atau pandemik.

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna, jika darurat bencana Covid-19 diisytiharkan oleh Perdana Menteri, beliau mempunyai kuasa untuk membuat atau menggubal sebarang perintah atau undang-undang darurat di kawasan yang diisytiharkan darurat tersebut tanpa perlu dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Jika Perdana Menteri mengisytiharkan darurat bencana, maka ATM akan turut mempunyai kuasa sebagai sebahagian daripada anggota Pasukan Keselamatan seperti yang termaktub dalam Akta MKN. Antara kuasa-kuasa yang termaktub adalah kuasa menangkap, kuasa untuk mengawal pergerakan, kuasa untuk menyita, serta kuasa untuk menggeledah premis.

Jadi, selagi darurat bencana tidak diisytiharkan oleh Perdana Menteri, ATM masih tidak mempunyai kuasa penuh dalam mengendalikan Perintah Kawalan Pergerakan ini. Hanya polis mempunyai kuasa penuh dan ATM hanya berfungsi membantu pihak polis dalam memperkukuhkan kawalan sepanjang perintah berkenaan.

Usah risau dengan isu undang-undang tentera yang bakal berlaku jika darurat diisytiharkan. Walaupun darurat bencana diisytiharkan oleh Perdana Menteri, ATM masih tidak boleh melaksanakan undang-undang tentera.

Hanya jika Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, maka undang-undang tentera akan berlaku dan dilaksana.

Dan kami rasakan, perkara ini tidak akan dan tidak wajar berlaku dalam menangani isu pandemik Covid-19 ini.

Kuasa atau bidang kuasa tentera hanya akan berfungsi secara penuh apabila darurat diisytiharkan.”

* Haeme Hashim dan CK Lew ialah peguam di Tetuan Haeme Lew, Kuala Lumpur