Op Karen bukti kerjasama SPRM, agensi lain banteras rasuah

PUTRAJAYA - Kejayaan Op Karen menjadi bukti semangat kerjasama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama agensi penguat kuasa lain dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa.
Op Karen 1.0, 1.5, 2.0 dan 3.0 digerakkan pada 2 hingga 8 September lalu di Sabah dan Sarawak, melibatkan Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguat Kuasa Malaysia (MATF) yang diketuai SPRM.
Agensi lain yang turut terlibat termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Laut serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Operasi ini dilaksanakan bagi membanteras sindiket yang terlibat dalam kegiatan rasuah, penyeludupan dan pengubahan wang haram yang menyebabkan kerugian hasil kerajaan dianggarkan sebanyak RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, Op Karen bukan sekadar satu kejayaan taktikal, tetapi juga lambang setiap anggota BOK bersama agensi lain bergerak sebagai satu pasukan bersepadu yang berintegriti tinggi.
“Kita harus akui bahawa dalam mana-mana operasi besar, cabaran pasti ada, sama ada dari segi penyelarasan, sumber manusia mahupun tekanan masa.
“Namun, apa yang membezakan kita ialah semangat tidak berputus asa dan kesepaduan pasukan,” katanya semasa berucap dalam Sesi Libat Urus BOK bersama Bahagian di SPRM dan agensi luar di sini pada Khamis.
Beliau berkata, semangat kerjasama yang ditunjukkan perlu dikekalkan dan diperkukuhkan dalam operasi akan datang.
Katanya, BOK akan terus memainkan peranan penting sebagai nadi utama operasi strategik SPRM.
“Saya amat berbangga melihat disiplin, dedikasi dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua. Inilah manifestasi sebenar kepada nilai ‘berkhidmat dengan integriti, tegas dan adil’ yang menjadi tunjang kepada SPRM,” ujarnya.
Laporan eksklusif Sinar Harian pada 9 September lalu mendedahkan kegiatan sebuah syarikat yang bertindak sebagai kartel dalam perniagaan pembekalan bahan api diesel ke seluruh negeri Sarawak, dipercayai menyebabkan kerugian puluhan juta ringgit kepada kerajaan.
Berikutan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang akhbar memaklumkan, Op Karen 1.0 yang dijalankan di Sibu, Kuching dan Bintulu telah menumpaskan kegiatan sebuah syarikat yang memonopoli pembekalan diesel komersial kepada sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri Sarawak dengan membayar rasuah kepada pihak tertentu.
Seramai lima individu ditahan membabitkan tiga pengarah syarikat, seorang pengurus syarikat serta seorang pengurus wilayah.
Sitaan membabitkan lima unit kereta bernilai RM1.7 juta, 24 bidang tanah (RM3 juta), lima kapal (RM52 juta), minyak diesel (RM9.7 juta), wang kripto bernilai RM564,673 serta wang tunai RM28,000.
Ringkasan AI
- Kejayaan Op Karen membuktikan semangat kerjasama antara SPRM dan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa
- Op Karen digerakkan di Sabah dan Sarawak, melibatkan pelbagai agensi termasuk LHDN, BNM, KPDN, Jabatan Laut dan ATM
- Operasi ini bertujuan membanteras sindiket rasuah, penyeludupan dan pengubahan wang haram dengan kerugian hasil kerajaan dianggarkan RM247 juta
- Pengarah Kanan BOK SPRM menyatakan Op Karen sebagai lambang kerjasama bersepadu antara anggota agensi dengan integriti tinggi
- Op Karen 1.0 berjaya menumpaskan syarikat monopoli pembekalan diesel di Sarawak, mengakibatkan penahanan lima individu dan sitaan bernilai jutaan ringgit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
