Tidak puas hati dengan jumlah pampasan

Terdapat 19 pemilik tanah di Kampung Jawa masih enggan berpindah kerana tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang diberikan.
Terdapat 19 pemilik tanah di Kampung Jawa masih enggan berpindah kerana tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang diberikan.
A
A
A

KLANG - Walaupun terdapat segelintir penduduk Kampung Jawa yang enggan berpindah bagi memberi laluan kepada projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), namun ada yang memikirkan keputusan untuk terima tawaran demi masa depan keluarga.

Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Punita berkata, ia adalah langkah terbaik demi masa depan mereka.

“Kami juga mahu menghormati proses yang sedang berjalan. Setuju berpindah adalah langkah terbaik demi masa depan keluarga,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Penduduk yang enggan berpindah menuntut penyelesaian yang adil dan telus serta pampasan setimpal agar hak mereka sebagai pemilik tanah tidak diketepikan.
Penduduk yang enggan berpindah menuntut penyelesaian yang adil dan telus serta pampasan setimpal agar hak mereka sebagai pemilik tanah tidak diketepikan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang juga hanya ingin dikenali sebagai Ramesh berkata, keputusan menerima tawaran pampasan dibuat dengan mengambil kira keadaan semasa dan keperluan keluarga.

“Memang ada yang masih tunggu atau kurang setuju tapi bagi saya lebih baik teruskan hidup,” jelasnya.

Bagi seorang pengusaha rumah sewa, Kamala yang telah menerima pampasan awal mengakui walaupun terdapat sedikit kekangan pada permulaan proses pembayaran namun dia bersyukur ia selesai dengan baik.

“Saya tak mahu fikir panjang. Dapat apa yang diberi, cukup untuk saya dan anak-anak mulakan semula hidup.

Artikel Berkaitan:

“Kalau asyik bantah, tak ke mana mana juga. Sekurang-kurangnya sekarang hidup lebih tenang. Yang penting kami dah bebas daripada ketidaktentuan. Hidup kena diteruskan,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan tentang kemajuan Projek WCE kini berhadapan dengan rintangan.

Ia berikutan keengganan 19 pemilik tanah di kampung itu yang enggan mengosongkan kediaman mereka kerana tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang diberikan.

Bagaimanapun, kesemua mereka sudah menerima 75 peratus daripada jumlah pampasan dan hak milik tanah juga sudah dipindahkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui borang K (Pemberitahuan Pengambilan Tanah) di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 apabila proses undang-undang selesai sejak 2023 lalu.

Difahamkan jumlah pampasan yang telah dianugerahkan adalah sebanyak RM9.8 juta melibatkan 33 pemilik tanah berdasarkan penilaian rasmi Pendaftar Tanah Negeri Selangor melalui Borang H selepas pendengaran tanah.

Tidak setimpal

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Chandra Kumar, 41, pula mengatakan pampasan yang diberikan tidak setimpal.

Chandra
Chandra

“Bukan kami tidak mahu berpindah, tetapi pampasan yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada penilaian sebenar.

“Penilai bertauliah yang dilantik sendiri oleh penduduk menilai keseluruhan tanah pada RM32 juta. Tambahan pula, proses pengambilan tanah tidak dijalankan secara telus,” jelasnya.

Beliau turut mendakwa, penduduk juga tidak menerima Borang K sedangkan pejabat tanah telah mengesahkan geran dan menyerahkannya kepada pihak pemaju.

Jelasnya, pampasan yang direkodkan dalam Borang H untuk sebidang tanah seluas 10,500 kaki persegi pula ialah RM65 sekaki persegi iaitu berjumlah RM682,500, tetapi hanya RM235,000 dibayar kepada pemilik yang terlibat.

Chandra turut mendakwa bahawa pampasan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah juga tidak diagihkan secara adil.

Malah katanya, jumlah pampasan dikatakan mencecah lebih RM9 juta, itu turut diragui dan menimbulkan persoalan, kerana mereka diberitahu jumlah sebenar ialah RM5 juta.

“Pampasan diagihkan kepada semua pemilik tanah termasuk yang kawasan mereka tidak terlibat langsung dalam pengambilan.

“Akibatnya, mereka yang ada tanah hanya menerima bayaran serendah RM24 sekaki persegi saja,” dakwanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pihak terlibat yang didakwa tidak menyalurkan maklumat lengkap kepada kerajaan negeri dan wakil rakyat kawasan terbabit.

“Kami dijemput menghadiri mesyuarat tergempar oleh Pejabat Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Selangor pada 25 Ogos 2025, yang dipengerusikan oleh Datuk Borhan Aman Shah, iaitu Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor.

“Tetapi pada masa itu kami mendapati Borhan sendiri tidak dimaklumkan mengenai isu sebenar,” katanya.

Tambahnya, dalam mesyuarat tersebut terdapat cadangan untuk menukar status tanah kepada komersial tetapi pemilik yang tanahnya telah diambil sepenuhnya tidak menerima sebarang faedah daripada penukaran tersebut.

“Jadi kami mencadangkan supaya kerajaan negeri mengambil keseluruhan tanah seluas 4.95 ekar dan membayar pampasan yang setimpal kepada semua pemilik tanah bagi memastikan keadilan dan ketelusan,” jelasnya.

Sementara itu, Sinar Harian turut difahamkan kesemua proses pengambilan tanah ditempat lain berjalan dengan lancar dan mengikut saluran perundangan yang betul serta telahpun selesai sepenuhnya.

Namun masalah itu mengakibatkan kerja-kerja pembinaan di Seksyen 3 itu tergendala lebih 20 bulan dan menjejaskan keseluruhan rangkaian lebuh raya yang diumumkan pada 2012 dengan jangkaan kos RM7.07 bilion.

 

Ringkasan AI

  • Walaupun terdapat penduduk Kampung Jawa yang enggan berpindah, ada yang menerima tawaran pampasan untuk masa depan keluarga
  • Pampasan dibuat dengan mempertimbangkan keperluan semasa dan keluarga
  • Kamala menerima pampasan awal dengan sedikit kekangan tapi bersyukur dapat memulakan hidup baru
  • 19 pemilik tanah enggan mengosongkan kediaman kerana pampasan yang diberikan tidak setimpal dengan nilai sebenar
  • Proses pengambilan tanah menghadapi rintangan dan kerja pembinaan tergendala lebih 20 bulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!