Konflik tanah 150 meter 'rencatkan' kemajuan WCE

Lebuhraya WCE merupakan projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233 kilometer (km) yang dirancang bagi menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak.
Lebuhraya WCE merupakan projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233 kilometer (km) yang dirancang bagi menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembinaan lebuh raya yang selesa dan selamat bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna jalan raya tetapi turut membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat di sepanjang jajaran terlibat.

Namun, di sebalik usaha berterusan kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk meningkatkan kualiti jajaran jalan atau lebuh raya, masih terdapat segelintir pihak cuba menafikan perkara itu.

Buktinya, keengganan 19 pemilik tanah di Kampung Jawa, Klang mengosongkan kediaman melibatkan jajaran 150 meter menjadi punca utama projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang kini lebih 90 peratus siap masih tergendala.

Lebuhraya WCE merupakan projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233 kilometer (km) yang dirancang bagi menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak turut berfungsi sebagai laluan alternatif ke Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi mengurangkan kesesakan.

Konflik melibatkan kawasan dan sebilangan kecil penduduk enggan mematuhi arahan ditetapkan bukan sahaja menyebabkan kerja-kerja pembinaan di Seksyen 3 tergendala lebih 20 bulan tetapi turut menjejaskan projek keseluruhan rangkaian lebuh raya yang diumum pada 2012 dengan jangkaan kos RM7.07 bilion.

8 daripada 11 seksyen beroperasi

Sehingga September lalu, daripada keseluruhan 11 seksyen WCE sepanjang lebih 200km itu, lapan seksyen dibuka kepada orang ramai iaitu 96 peratus melibatkan seksyen 1, 2, 5 dan 6 di Selangor serta seksyen 8 hingga 11 di Perak.

Ketika ini, masih terdapat tiga seksyen yang belum dibuka iaitu Seksyen 3 (Seri Andalas ke Lebuhraya Persekutuan) dan Seksyen 7 (Assam Jawa ke Tanjung Karang), manakala Seksyen 4 (Lebuhraya Persekutuan ke NKSB) pula telah siap sejak 2019 tetapi masih belum dibuka kerana menunggu sambungan ke Seksyen 3.

Sekiranya isu tanah di Seksyen 3 dapat diselesaikan segera, Lebuhraya WCE yang banyak memberi manfaat itu boleh disiapkan sepenuhnya menjelang hujung tahun 2026 seperti dirancang sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Malah, pampasan kepada pemilik tanah sebanyak 75 peratus juga telah dibayar dan hak miliknya turut dipindahkan secara sah kepada Kerajaan Persekutuan melalui Borang K di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 apabila proses undang-undang selesai sejak 2023 lalu.

Sehingga September lalu, daripada keseluruhan 11 seksyen WCE sepanjang lebih 200km itu, lapan seksyen dibuka kepada orang ramai.
Sehingga September lalu, daripada keseluruhan 11 seksyen WCE sepanjang lebih 200km itu, lapan seksyen dibuka kepada orang ramai.

Pemilik tanah terima pampasan berjumlah RM9.8 juta

Difahamkan, jumlah pampasan yang telah dianugerahkan adalah sebanyak RM9.8 juta melibatkan 33 pemilik tanah berdasarkan penilaian rasmi Pentadbir Tanah Negeri Selangor melalui Borang H selepas pendengaran tanah.

Mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960, pampasan dinilai berdasarkan kategori tanah, lokasi, kegunaan semasa dan nilai pasaran semasa, namun dalam isu pengambilan melibatkan Kampung Jawa itu, tanah berstatus pertanian turut menikmati pampasan lebih daripada kadar munasabah.

Langkah yang diambil ini jelas lebih adil daripada syarat minimum undang-undang sedia ada supaya kelebihan dapat dinikmati bekas pemilik tanah yang terlibat bagi tujuan projek pembinaan infrastruktur tersebut.

Secara keseluruhan, lebih ribuan lot tanah telah diambil alih sepanjang jajaran Lebuhraya WCE di Selangor dan Perak serta semua pampasan telah dibayar mengikut penilaian rasmi Pentadbir Tanah.

Jumlah pampasan di Kampung Jawa juga setara kaedah penilaian di kawasan lain, malah turut mengambil kira pertimbangan sewajarnya atas dasar ehsan, namun masih ada segelintir pihak yang masih berkeras, sekali gus merencatkan usaha pembinaan lebuh raya berkenaan.

Kerugian besar dari segi kewangan akibat kelewatan

Perlu difahami, kelewatan dalam menyempurnakan jajaran 10km di Seksyen 3 kini yang masih tergantung memberi kesan domino kepada keseluruhan projek dan ekonomi negara.

Ini kerana lebih 10,000 lori dan pengangkut sehari terpaksa menggunakan jalan sedia ada yang sesak menuju ke Pelabuhan Klang, sekali gus meningkatkan masa perjalanan, kos bahan api dan kos logistik.

Sudah pasti, projek tergendala ini memberi kesan langsung kepada daya saing perdagangan negara kerana Pelabuhan Klang adalah pintu masuk utama eksport-import negara.

Disebabkan kelewatan operasi jajaran kritikal yang sudah melebihi 20 bulan itu juga secara tidak langsung turut menyebabkan kerugian mencecah hingga ratusan juta ringgit kesan kehilangan hasil kutipan tol, selain terdapat kos tambahan pembinaan serta pelanjutan masa projek yang turut menambah beban kewangan.

Perjalanan Banting-Taiping boleh dikurangkan sehingga 45 minit hingga 1 jam

Lebuhraya WCE dijangka mampu menampung sehingga 300,000 trafik harian apabila siap sepenuhnya nanti dengan menjimatkan masa perjalanan antara Banting ke Taiping antara 45 minit sehingga ke satu jam, selain membuka peluang ekonomi baharu di sepanjang koridor Pantai Barat.

Malah, mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960, apabila Borang K telah dikeluarkan, tanah adalah milik kerajaan dan pilihan terbaik ialah penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa Negeri dan Persekutuan untuk memastikan kawasan berkenaan dikosongkan segera oleh bekas pemilik.

Laluan tidak boleh diubah

Ini kerana, laluan tidak boleh diubah tanpa melalui proses penggazetan baharu yang akan memakan masa bertahun-tahun selain berdepan kos lebih tinggi.

Justeru, selagi konflik 150 meter melibatkan tanah di Kampung Jawa tidak diselesaikan, harapan rakyat untuk menikmati manfaat penuh lebuh raya moden ini akan terus tergantung.

Projek infrastruktur ini perlu diteruskan memandangkan ia dibuat mengikut undang-undang, selain dipersetujui majoriti pemilik tanah tetapi hingga kini masih ‘terhalang’ disebabkan kumpulan minoriti.

Persetujuan dicapai dan bayaran dibuat kepada pihak terlibat ini jelas pelaksanaan projek lebuh raya tidak boleh dihentikan atau ditangguh dan kerajaan juga perlu bersikap lebih tegas dalam menyelesaikan kemelut ini.

Boleh cetuskan polemik kaum jika tunduk desakan kumpulan minoriti

Malah, tidak mustahil jika konflik ini tidak diselesaikan atau kerajaan tunduk kepada desakan 19 bekas pemilik tanah yang enggan berpindah, ia boleh mencetuskan polemik perkauman oleh pihak tertentu dengan mengaitkan isu Kampung Jawa, Klang dengan Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Pihak tidak bertanggungjawab pasti akan menggunakan isu Kampung Jawa yang tidak selesai ini sebagai modal untuk menyerang kerajaan jika berlembut dengan kumpulan kecil bekas pemilik tanah yang enggan berpindah.

Justeru, kerajaan tidak boleh ‘tunduk’ dengan kedegilan golongan minoriti yang enggan mematuhi undang-undang memandangkan ramai pihak menantikan projek lebuh raya ini siap sepenuhnya demi manfaat bersama.

Ringkasan AI

  • Pembinaan lebuh raya WCE bertujuan menghubungkan Banting ke Taiping dan mengurangkan kesesakan
  • Konflik dengan pemilik tanah di Kampung Jawa telah menghentikan pembinaan Seksyen 3
  • Lebuhraya WCE mempunyai 8 daripada 11 seksyen yang telah dibuka kepada umum
  • Pemilik tanah terlibat telah menerima pampasan berjumlah RM9.8 juta
  • Kelewatan pembinaan menyebabkan kerugian kewangan dan mempengaruhi daya saing Pelabuhan Klang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!