Bantu peralihan bacaan al-Quran ke hafalan

SHAH ALAM - Bengkel Hafal al-Quran anjuran Karya Bestari mampu menjadi medium peralihan berkesan kepada individu yang ingin beralih daripada kemahiran membaca al-Quran kepada kaedah hafalan.
Editor Kanan Penerbitan al-Quran Karya Bestari, Mohamad Amiro Safwan Mohd Kamal berkata, bengkel tersebut menggunakan al-Quran Al-Hafiz terbitan Karya Bestari yang menampilkan teknik tiga blok warna bagi membantu peserta memberi fokus kepada ayat-ayat tertentu dalam setiap halaman.
“Setiap halaman al-Quran dibahagikan kepada tiga blok warna yang masing-masing merangkumi lima baris ayat.
“Setiap blok diperuntukkan tempoh satu jam, dengan penekanan kepada pengulangan bacaan sebelum peserta mula menghafal.
“Pendekatan ini fleksibel kerana tidak semua peserta memerlukan masa yang sama. Ada yang mampu menguasai hafalan dalam tempoh singkat, manakala selebihnya menggunakan masa untuk pengulangan,” katanya ketika ditemui di Bengkel Hafal al-Quran di Studio My #QuranTime (MQT), Kompleks Karangkraf pada Selasa.
Hadir sama, Editor Penerbitan Al-Quran Karya Bestari, Khairul Naim Mansor.

Ujar Mohamad Amiro Safwan, penganjuran program itu merupakan satu usaha kelestarian hidup agar al-Quran sentiasa menjadi panduan dan sumber kekuatan rohani dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, apabila hafalan ayat al-Quran terpahat dalam jiwa, ia mampu membantu seseorang menjadi lebih tenang, kurang murung dan lebih mudah menerima takdir apabila berdepan dengan ujian serta cabaran hidup.
“Apabila diuji dengan musibah, seseorang itu juga tidak mudah meroyan atau menolak takdir. Al-Quran berperanan sebagai penawar jiwa.
“Malah, ketika sakit sekalipun, ayat- ayat yang telah dihafal boleh diulang secara lisan kerana ia sudah tersimpan dalam ingatan,” ujarnya.

Mohamad Amiro Safwan turut mengingatkan masyarakat agar membuat persediaan menjelang Ramadan dengan menjadikan al-Quran sebagai fokus utama, memandangkan bulan tersebut sarat dengan amalan ibadah dan bacaan ayat-ayat suci.
“Ramadan seharusnya diraikan dengan persediaan, bukan sekadar rutin tahunan. Jika tidak ada persediaan, maka ia tidak membawa sebarang makna.
“Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, maka inilah masa terbaik untuk kita lebih dekat dan menghayati ayat-ayatnya,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

