Majikan dilarang guna akaun BUDI95 pekerja isi petrol kenderaan syarikat - Fahmi

Fahmi. Foto Bernama
Fahmi. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majikan dilarang sama sekali mengarahkan pekerja menggunakan bantuan subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95) untuk mengisi kenderaan milik syarikat kerana perbuatan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sekiranya terdapat pekerja yang diarahkan berbuat demikian, mereka boleh membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) atau memaklumkan kepada pihak berkuasa berwibawa untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kerajaan komited memastikan tiada pihak disalahgunakan atau dimanipulasi dalam pelaksanaan inisiatif Budi Madani, khususnya melibatkan pekerja sektor penghantaran yang tergolong dalam kumpulan pekerja gig.

“Saya ingin tegaskan, jika ada mana-mana pekerja yang diarahkan oleh syarikat untuk mengisi kenderaan milik syarikat menggunakan akaun BUDI95 sendiri, itu salah.

“Mereka boleh buat laporan kepada pihak KPDN atau maklumkan kepada pihak berwibawa untuk tindakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Bernama di ibu negara pada Rabu.

Fahmi berkata, beliau sebelum ini meneliti satu video tular yang memaparkan dakwaan seorang pekerja syarikat penghantaran diminta mengisi petrol menggunakan subsidi Budi Madani, dipercayai melibatkan syarikat Flash Express.

Beliau menjelaskan, syarikat Flash Express merupakan entiti berlesen di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan susulan kejadian itu, beliau telah mengarahkan MCMC menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.

“Hasilnya, CEO Flash Express mengakui bahawa individu dalam video tersebut adalah pekerja mereka. Pekerja terbabit juga telah memadam kandungan berkenaan dan memohon maaf kepada pihak syarikat,” katanya.

Susulan itu, Fahmi memaklumkan beliau telah berhubung dengan Kementerian Kewangan untuk meneliti perkara tersebut secara menyeluruh dan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Penghantar Malaysia (AMAC) bagi mencari penyelesaian terbaik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, isu ini perlu diperhalusi kerana industri penghantaran mempunyai dua kategori pekerja berbeza, iaitu pekerja tetap syarikat dan pekerja gig.

“Bagi pekerja tetap, syarikat wajib menyediakan kenderaan serta menanggung kos petrol untuk tugasan rasmi. Namun bagi pekerja gig, mereka menggunakan kenderaan sendiri dan layak menerima manfaat BUDI95,” jelasnya.

Beliau berkata, pihak Kementerian Kewangan kini sedang meneliti kemungkinan memasukkan pekerja gig sektor penghantaran seperti Flash Express, J&T, Shopee Express dan syarikat lain sebagai penerima tambahan kuota subsidi BUDI95.

Fahmi menegaskan, langkah itu penting bagi memastikan tiada ketirisan atau penyalahgunaan berlaku, selain menjamin kebajikan pekerja gig serta mengelak mereka menjadi mangsa kepada arahan tidak wajar oleh majikan.

“Kerajaan sedang melihat semua sudut supaya pelaksanaan subsidi ini benar-benar sampai kepada yang layak dan tidak menindas mana-mana pihak,” katanya.

Ringkasan AI

  • Majikan dilarang mengarahkan pekerja guna subsidi petrol BUDI95 untuk kenderaan syarikat
  • Pekerja boleh lapor kepada KPDN jika diarahkan salah guna subsidi
  • Kerajaan komited elak pekerja gig disalahgunakan dalam inisiatif Budi Madani
  • Syarikat penghantaran seperti Flash Express diperiksa kerana dugaan salah guna subsidi
  • Kementerian Kewangan dan Persatuan Penghantar Malaysia membincang penyelesaian bagi pekerja gig dan potensi kuota tambahan subsidi BUDI95

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!