Tiga warga Singapura dikesan cuba isi RON95

Lilis Saslinda (kanan) beramah mesra dengan pelanggan sempena Program Hari Bertemu Pelanggan KPDN peringkat Negeri Johor bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SPKS), di sini, pada Selasa.
Lilis Saslinda (kanan) beramah mesra dengan pelanggan sempena Program Hari Bertemu Pelanggan KPDN peringkat Negeri Johor bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SPKS), di sini, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Sebanyak 10 kes kenderaan berdaftar asing didapati mengisi petrol RON95 secara tidak sah telah direkodkan di Johor sejak awal tahun ini, termasuk tiga kes selepas pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95), demikian menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor.

Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, beberapa kes melibatkan pemandu warga Singapura ini turut tular di media sosial dan pihaknya memandang serius perkara tersebut dengan menjalankan siasatan terperinci serta semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menentukan sama ada wujud pelanggaran undang-undang.

“Daripada jumlah itu, tujuh kes berlaku di Johor Bahru, manakala masing-masing satu kes di Kota Tinggi, Pontian dan Segamat,” katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bertemu Pelanggan KPDN peringkat Negeri Johor bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SPKS), di sini, pada Selasa.

Menurut beliau, operasi penguatkuasaan di bawah Op Tiris telah digerakkan untuk memantau pelaksanaan inisiatif Budi Madani di stesen-stesen minyak seluruh negeri.

Dalam pada itu, KPDN Johor turut mengingatkan semua pengusaha stesen minyak agar sentiasa berwaspada dan peka terhadap cubaan kenderaan asing untuk mengisi petrol RON95 yang dikhususkan kepada warganegara sahaja.

“Kami telah mengingatkan semua pengusaha stesen minyak agar sentiasa sensitif sekiranya terlihat kenderaan berdaftar asing mengisi RON95.

“Ada pengusaha mendakwa kakitangan mereka mungkin terlepas pandang, namun kami akan pastikan perkara ini tidak terus berlaku,” katanya.

Tambah Lilis Saslinda, KPDN juga akan bekerjasama dengan agensi dan jabatan berkaitan bagi menempatkan peringatan atau notis larangan di pintu masuk sempadan sebelum kenderaan asing memasuki negeri ini.

“Langkah ini penting kerana masih ada individu yang cuba mengisi RON95 dan mendakwa mereka rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Namun, walaupun anda rakyat Malaysia, jika menggunakan kenderaan berdaftar asing, anda tetap tidak dibenarkan menggunakan RON95 dan perlu mengisi RON97,” tegasnya.

 

Ringkasan AI

  • Sebanyak 10 kes kenderaan berdaftar asing mengisi petrol RON95 tidak sah direkodkan di Johor
  • Pemandu warga Singapura terlibat dalam beberapa kes yang tular di media sosial
  • Tujuh kes terjadi di Johor Bahru, selebihnya di Kota Tinggi, Pontian dan Segamat
  • KPDN Johor jalankan operasi penguatkuasaan Op Tiris memantau pelaksanaan Budi Madani
  • Pengusaha stesen minyak diingatkan berwaspada terhadap kenderaan asing yang cuba mengisi RON95

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!