BUDI95: Pengguna berdepan masalah disaran simpan bukti resit bayaran

Muhammad Zahir
Muhammad Zahir
A
A
A

SEREMBAN - Pengguna yang menghadapi masalah pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter di bawah program Budi Madani (BUDI95) disarankan menyimpan bukti resit pembayaran bagi tujuan tuntutan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, kerajaan dijangka akan membuka permohonan tuntutan dalam masa terdekat bagi mereka yang berdepan isu teknikal seperti sistem tergendala atau masalah pengesahan MyKad.

Menurutnya, simpanan resit amat penting sekiranya berlaku penafian kelayakan atau kelewatan dalam proses pendaftaran BUDI95.

“Setakat ini, pengguna industri layak menerima subsidi RM2.05 seliter, namun masih ada yang terpaksa membayar RM2.60 kerana mungkin belum berdaftar. Jadi, mereka perlu simpan semua resit sebagai bukti untuk tuntutan apabila dibuka nanti.

“Begitu juga situasi kalau anda rasa layak tetapi tidak menerima kemudahan itu, simpan semua bukti pembelian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Terbuka Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di KPDN Negeri Sembilan pada Selasa.

Muhammad Zahir berkata, kerajaan sedang meneliti kaedah penyelarasan dan pembayaran sama ada bayaran semula dibuat secara tunai atau isian semula petrol di stesen terlibat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa KPDN Negeri Sembilan tidak menerima sebarang aduan berhubung pelaksanaan BUDI95 sejak dilaksanakan secara berperingkat mulai 27 September lalu.

“Alhamdulillah, tidak berlaku sebarang kekecohan atau kesesakan di stesen minyak, sama ada orang beratur panjang, tidak boleh isi petrol mahupun kehabisan bekalan.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, tiada apa-apa yang membimbangkan cuma mungkin ada beberapa isu terpencil yang menyebabkan kekeliruan.

“Saya tidak pasti sama ada benar-benar berlaku kekeliruan dalam kalangan pengguna atau sekadar mahu mencetuskan fenomena.

“Namun realitinya, daripada pihak industri, individu, syarikat minyak dan rakan-rakan lain, tiada sebarang aduan atau isu berbangkit. Selepas 10 hari pelaksanaan, semuanya berjalan lancar,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Pengguna yang menghadapi masalah pembelian petrol RON95 pada harga subsidi disarankan menyimpan bukti resit pembayaran
  • Kerajaan akan membuka permohonan tuntutan untuk mereka yang berdepan isu teknikal
  • Simpanan resit penting untuk tuntutan sekiranya berlaku penafian kelayakan atau kelewatan proses pendaftaran BUDI95
  • Kerajaan sedang meneliti kaedah penyelarasan dan pembayaran untuk tuntutan
  • KPDN Negeri Sembilan tidak menerima aduan berhubung pelaksanaan BUDI95 sejak dilaksanakan secara berperingkat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!