MBSP perkenalkan sistem RNC, jana ganjaran tunai

Mooi Lye (kiri) mencuba kaedah stesen pandu lalu untuk menyerahkan bahan kitar semula.
Mooi Lye (kiri) mencuba kaedah stesen pandu lalu untuk menyerahkan bahan kitar semula.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memperkenalkan sistem 'recycle n cash' (RNC) bagi menjadikan amalan kitar semula bukan sekadar tanggungjawab tetapi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat kita.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H'ng Mooi Lye berkata, sistem RNC ini membuktikan bagaimana inovasi dan teknologi dapat digabung untuk menggalakkan pengasingan sisa di punca dengan ganjaran tunai kepada pengguna.

Menurutnya, inisiatif ini bukan sahaja menyemai kesedaran kitar semula tetapi memperkukuhkan ekonomi kitaran yang memberi manfaat kepada rakyat.

"RNC bukan sekadar mekanisme kutipan tetapi platform teknologi hijau yang menggabungkan kemudahan digital, tanggungjawab sosial dan ganjaran ekonomi.

"Melalui RNC, rakyat Seberang Perai kini boleh mengitar semula beberapa kaedah antaranya melalui kutipan 'Door to Door' (D2D) iaitu perkhidmatan kutipan dari rumah mengikut zon Parlimen dan 'Collection On Demand' (COD-R) iaitu permintaan kutipan melalui aplikasi web, bila-bila masa diperlukan," katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran sistem di Menara MBSP di sini pada Rabu.

Hadir sama Datuk Bandar Seberang Perai, Datuk Baderul Amin Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, antara kaedah lain disediakan untuk sistem RNC ialah stesen pandu lalu untuk menyerahkan bahan kitar semula dengan pantas dan saluran komunikasi langsung antara pengguna dan pihak pengendali melalui Komuniti WhatsApp MBSP.

Beliau berkata, di bawah Geran Sejati Madani, sebanyak 30 Stesen Pandu Lalu akan diwujudkan di seluruh kawasan Seberang Perai yang mana 10 di setiap daerah dalam masa terdekat

"Berdasarkan rekod terkini dari Januari sehingga September lalu, kadar kutipan kitar semula di kawasan Seberang Perai adalah sebanyak 33.64 peratus dengan berat kutipan kitar semula sebanyak 176,902.32 tan metrik.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri memandang serius keperluan memperkukuhkan sistem pengurusan sistem kitar semula agar lebih menyeluruh dan berkesan seiring dengan matlamat negeri kearah pembangunan hijau dan mampan," jelasnya.

Sementara itu, Baderul Amin berkata, sejak 1 Jun 2016, MBSP melaksanakan dasar Pengasingan Sisa di Punca dan menyeru setiap isi rumah dan premis menunaikan tanggungjawab terhadap bumi.

Namun, beliau berkata, pelaksanaannya berdepan pelbagai cabaran daripada kekangan tenaga kerja hingga kos bahan bakar yang tinggi.

"Sebanyak RM52,543,500 setahun telah dibelanjakan bagi perkhidmatan kutipan sisa kitar semula.

"Angka ini jelas menunjukkan perlunya pendekatan yang lebih efisien, lestari dan berimpak tinggi," tambahnya.

Ringkasan AI

  • Majlis Bandaraya Seberang Perai memperkenalkan sistem 'recycle n cash' untuk mendorong amalan kitar semula sebagai gaya hidup
  • Sistem tersebut menggunakan inovasi dan teknologi untuk menggalakkan pengasingan sisa dengan ganjaran tunai
  • Ini bertujuan untuk menyemai kesedaran kitar semula dan memperkukuhkan ekonomi kitaran yang bermanfaat
  • RNC menyediakan beberapa kaedah kitar semula termasuk kutipan 'Door to Door' dan 'Collection On Demand' melalui aplikasi web
  • Sebanyak 30 Stesen Pandu Lalu untuk kitar semula akan diwujudkan di Seberang Perai dengan geran dari Geran Sejati Madani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!