Belanjawan Madani bukan sekadar angka, tetapi hala tuju untuk terus bantu rakyat - PM

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukan buku Tinjauan Fisikal semasa hadir ke Hari Tinjauan di Kementerian Kewangan pada Khamis. Foto Bernama
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukan buku Tinjauan Fisikal semasa hadir ke Hari Tinjauan di Kementerian Kewangan pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Belanjawan MADANI Keempat yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sebaliknya ia merupakan hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.

"Saksikan pembentangan Belanjawan MADANI 2026 secara langsung di semua saluran televisyen dan platform digital utama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini.

Ia merupakan belanjawan keempat yang dibentang oleh Kerajaan MADANI pimpinan beliau, dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 sekali gus menjadi asas utama bagi pelaksanaan pelan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

Anwar, ketika memberikan taklimat berkaitan Belanjawan 2026 kepada editor media di Putrajaya pada Rabu, berkata Belanjawan Kerajaan MADANI Keempat itu akan menumpukan usaha untuk membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat di laman sesawang Parlimen, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 akan dibahaskan di Peringkat Dasar selama lapan hari oleh Ahli-Ahli Parlimen selepas dibentang hari ini.

Seterusnya, sesi penggulungan oleh kementerian akan berlangsung dari 29 Oktober hingga 4 November diikuti perbahasan di Peringkat Jawatankuasa dari 5 hingga 27 November untuk kelulusan Dewan Rakyat.

Sementara itu, Perdana Menteri dalam hantaran berasingan menzahirkan rasa bangga di atas kerja keras pasukan Kementerian Kewangan yang membanting tulang menyiapkan Belanjawan 2026.

Artikel Berkaitan:

 

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang berusaha tanpa lelah merealisasikan hasrat kerajaan untuk memaknai erti sebenar kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara menerusi dokumen ini," katanya. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Belanjawan MADANI Keempat akan dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat
  • Ia bertujuan untuk membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara
  • Belanjawan ini adalah yang keempat dibawah Keajaan MADANI dan pertama dalam Rancangan Malaysia Ke-13
  • Akan menumpukan pada membela rakyat, memperkukuh ekonomi dan memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif
  • Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 akan dibahaskan di Dewan Rakyat selepas pembentangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!