Koleksi pelita, teko lama simpan seribu kenangan

Pugiyana menunjukkan sebahagian koleksi pelita yang dikumpul di kediamannya di Kampung Baru Chengal Lempong di sini.
Pugiyana menunjukkan sebahagian koleksi pelita yang dikumpul di kediamannya di Kampung Baru Chengal Lempong di sini.
A
A
A

KUANTAN - Siapa sangka, pelita yang dahulunya menerangi malam kini menjadi koleksi paling berharga buat seorang wanita di sini apabila berjaya mengumpul lebih 100 barangan unik itu.

Suri rumah, Pugiyana Hussin, 52, berkata, pelita bukan sekadar barangan lama, sebaliknya membawa seribu satu kenangan serta nilai sentimental yang sukar diganti.

Menurutnya, atas sebab itu, setiap pelita yang dimiliki disimpan dengan penuh teliti bagi memastikan ia kekal elok dan tidak rosak walaupun sudah berusia puluhan tahun.

“Saya memang minat barang lama, dan pelita ini lain sikit sebab ia ada seni, warna dan bentuk yang unik.

"Sekarang saya ada lebih 100 pelita pelbagai jenis, ada yang saya beli semasa berjalan-jalan di pasar lama, selain membelinya secara dalam talian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Chengal Lempung, di sini pada Isnin.

Pelbagai jenis bentuk pelita yang dikumpul Pugiyana di rumah di Kampung Baru Chengal Lempong di sini.
Pelbagai jenis bentuk pelita yang dikumpul Pugiyana di rumah di Kampung Baru Chengal Lempong di sini.

Ibu kepada empat anak itu memberitahu, setiap kali melihat pelita lama, suasana zaman kecil kembali terbayang di ingatannya.

Ujarnya, pelita menggunakan minyak tanah sering digunakan sewaktu berlaku gangguan bekalan elektrik atau dalam situasi tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Rasa nostalgianya lain. Kalau dahulu pelita amat penting, tetapi kini ia menjadi barang hiasan. Sebab itu saya kumpul dan simpan elok-elok,” katanya.

Selain pelita, Pugiyana turut memiliki lebih 150 teko klasik dengan pelbagai bentuk dan corak bunga seperti kekwa, ros serta kangkung yang semuanya disusun rapi di ruang khas dalam rumahnya.

“Teko dan pinggan lama ini pun ada kisah tersendiri. Ada yang saya dapat sebagai hadiah, dan ada juga yang saya beli sendiri.

"Kalau orang kata ‘berhantu’, mungkin ada betulnya juga, sebab rasa macam ‘ketagih’ nak tambah lagi,” katanya berseloroh.

Pugiyana turut mengumpul pinggan mangkuk dan teko lama dan ini antara koleksi rose hitam.
Pugiyana turut mengumpul pinggan mangkuk dan teko lama dan ini antara koleksi rose hitam.

Menjawab bagaimana minat itu bermula, Pugiyana memberitahu semuanya bermula lebih 20 tahun lalu selepas menerima hadiah set pinggan bercorak ros hitam daripada seorang kenalan.

Kongsinya, sejak itu minatnya semakin mendalam dan dia mula aktif mencari barangan lama di seluruh negara.

“Saya pernah ke Johor, Kuala Lumpur, malah ada juga beli dari Brunei dan Indonesia.

"Semuanya sebab minat. Kadang-kadang kawan dalam kumpulan pengumpul pun tolong carikan,” jelasnya.

Tambahnya, pelita dan teko klasik yang dikumpul kini bukan sahaja menjadi koleksi peribadi, tetapi juga kenangan berharga buat keluarganya.

“Dulu saya pernah jual juga, tapi sekarang saya lebih suka simpan.

"Nilai sebenar barang lama ini bukan pada harga, tetapi pada ceritanya,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pelita menjadi koleksi berharga bagi Pugiyana Hussin yang telah mengumpul lebih 100 barangan unik
  • Pelita menyimpan kenangan dan nilai sentimental yang kuat bagi Pugiyana
  • Setiap pelita dirawat dan disimpan dengan penuh teliti untuk memastikan ia tidak rosak
  • Koleksi pelita diperoleh dari pasar lama dan pembelian dalam talian
  • Selain pelita, Pugiyana juga mengumpul lebih 150 teko klasik dengan pelbagai corak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!