RM300 untuk bayi kelahiran Pahang 2026

Salah seorang penerima tersenyum menerima manfaat daripada Kerajaan Negeri yang disampaikan Sabariah selepas Majlis Pelancaran Permata Makmur Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Felda Kampung Sertik. - Foto: Pahang Media
Salah seorang penerima tersenyum menerima manfaat daripada Kerajaan Negeri yang disampaikan Sabariah selepas Majlis Pelancaran Permata Makmur Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Felda Kampung Sertik. - Foto: Pahang Media
A
A
A

BENTONG – Kerajaan Negeri Pahang meneruskan inisiatif Permata Makmur di bawah Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) bagi tahun 2026 dengan menyediakan sumbangan keseluruhan RM300 kepada setiap bayi kelahiran negeri ini.

Sumbangan itu merangkumi RM250 yang dimasukkan ke dalam Akaun Simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN Prime) sebagai simpanan awal pendidikan serta barangan keperluan bayi bernilai RM50.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Sabariah Saidan berkata, seramai 75 bayi di daerah ini menjadi kumpulan pertama menerima manfaat berkenaan pada Majlis Pelancaran Permata Makmur Tahun 2026 di Felda Kampung Sertik, di sini pada Isnin.

Sabariah menyampaikan sumbangan pembukaan akaun SSPN pada salah seorang penerima pada Majlis Pelancaran Permata Makmur Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Felda Kampung Sertik pada Ahad. - Foto: Pahang Media
Sabariah menyampaikan sumbangan pembukaan akaun SSPN pada salah seorang penerima pada Majlis Pelancaran Permata Makmur Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Felda Kampung Sertik pada Ahad. - Foto: Pahang Media

Menurutnya, pelancaran lebih awal tahun ini bertujuan meningkatkan hebahan supaya lebih ramai rakyat mengetahui dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri.

"Kita menerima banyak aduan yang mengatakan mereka tidak mengetahui mengenai inisiatif ini. Jadi, salah satu tujuan majlis pelancaran adalah untuk tujuan hebahan," katanya pada majlis itu.

Beliau berkata demikian selaku wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, V. Arumugam; serta Ketua Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang, Mazlina Mohamed @ Mohamad Lazim.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sabariah berkata, pendaftaran bagi bayi kelahiran tahun 2025 masih dibuka secara dalam talian, manakala bagi kelahiran tahun 2026 akan dibuka bermula 9 Mac depan.

Jelas beliau, ibu bapa yang mempunyai anak kelahiran tahun 2024 masih boleh membuat pendaftaran di pejabat SSPN terdekat serta menuntut barangan keperluan di pejabat ADUN masing-masing.

Sabariah menyampaikan hamper kepada penerima pada Majlis Pelancaran Permata Makmur Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Felda Kampung Sertik pada Ahad. - Foto: Pahang Me
Sabariah menyampaikan hamper kepada penerima pada Majlis Pelancaran Permata Makmur Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Felda Kampung Sertik pada Ahad. - Foto: Pahang Me

Sementara itu, Sabariah memaklumkan inisiatif tersebut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam membina masa depan generasi baharu Pahang.

"Sebagai anak Pahang, kita hendaklah bersyukur dengan apa yang kita ada. Saya selalu tegaskan, sekiranya ingin menikmati lebih banyak manfaat, kita perlu terus menyokong kerajaan yang ada pada hari ini.

"Inisiatif ini adalah cetusan Wan Rosdy sejak beliau menjadi Menteri Besar Pahang. Jadi, kita sokong bagi memastikan inisiatif ini dapat diteruskan pada masa akan datang," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Negeri Pahang melancarkan inisiatif Permata Makmur dengan menyediakan sumbangan RM300 untuk setiap bayi kelahiran negeri itu
  • Sumbangan ini termasuk RM250 dalam Akaun Simpanan SSPN Prime dan barangan bayi RM50
  • Seramai 75 bayi di Bentong menjadi kumpulan pertama menerima manfaat ini
  • Pelancaran ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang inisiatif tersebut
  • Inisiatif ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang terhadap kebajikan rakyat dan pembangunan generasi baharu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!