Satu rumah, empat perayaan - Tradisi unik keluarga majmuk Goh Hui Lang

Hui Lang bersama anak, cucu dan cicitnya berkumpul sempena Tahun Baharu Cina di rumahnya di Indera Mahkota, pada Selasa.
Hui Lang bersama anak, cucu dan cicitnya berkumpul sempena Tahun Baharu Cina di rumahnya di Indera Mahkota, pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN – Mana mungkin sebuah rumah mampu meraikan empat sambutan perayaan berbeza dalam setahun, tetapi itulah tradisi unik yang dijalani seorang warga emas berusia 95 tahun ini.

Biarpun mempunyai 10 anak berbilang pegangan agama, kediaman Goh Hui Lang di Indera Mahkota tetap menjadi pengikat keharmonian setiap kali tibanya musim perayaan.

Wanita kelahiran Rompin itu berkata, dia bukan sahaja menyambut Tahun Baharu Cina, tetapi juga Hari Raya, Aidiladha dan Krismas kerana lima daripada anaknya telah memeluk Islam.

Menurutnya, musim perayaan paling dinantikan apabila 28 cucu dan 31 cicit berkumpul di bawah satu bumbung bagi menzahirkan kesatuan keluarga yang melangkaui warisan Cina Peranakan mereka.

“Perayaan inilah masa untuk kami bersama dan gembira itu macam biasa sahaja. Tapi pada usia begini, saya sudah tidak mahu komen banyak lagi, cukup sekadar melihat semua anak cucu di depan mata, itu sudah memadai," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Selasa.

Dia yang kini berkerusi roda akibat strok lebih sedekad lalu mengakui sentiasa menghormati pilihan hidup anak-anak berkahwin dengan pasangan berlainan kaum.

"Saya dikurniakan lima anak lelaki dan lima anak perempuan... mereka berkahwin dengan pasangan daripada pelbagai kaum, termasuk Muslim serta Kristian.

"Saya percaya itu adalah pilihan masing-masing. Saya tidak pernah menghalang mereka nak masuk Islam, tapi saya selalu ingatkan sebab Islam ini agama yang besar... jadi bila dah masuk, jangan patah balik," ujarnya yang mesra dipanggil 'mak' oleh anak-anak dan 'popo' bagi cucu-cucunya.

Artikel Berkaitan:

Niau Ying membantu ibunya, Hui Lang memberikan angpau kepada cucu dan cicit pada sambutan Tahun Baharu Cina di rumahnya di Indera Mahkota, pada Selasa.
Niau Ying membantu ibunya, Hui Lang memberikan angpau kepada cucu dan cicit pada sambutan Tahun Baharu Cina di rumahnya di Indera Mahkota, pada Selasa.

Tampil anggun dengan kebaya biru muda dan kain sarung batik, Hui Lang memberitahu, keistimewaan keluarga majmuknya membolehkan generasi muda mereka menyelami kepelbagaian budaya, selain mampu bertutur dalam pelbagai bahasa.

"Selain Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, ada anak-anak saya yang fasih bertutur dalam bahasa Mandarin dan Tamil. Saya sendiri membesar dengan bercakap Bahasa Malaysia kerana kami jarang menggunakan Mandarin di rumah," kongsinya lagi.

Bercerita lanjut, Hui Lang yang telah kehilangan suaminya lebih 40 tahun lalu berkata, makan malam besar sempena Tahun Baharu Cina menjadi acara tahunan paling dinanti kerana semua ahli keluarga, termasuk yang menetap di luar Pahang, akan pulang.

Menurutnya, peluang keemasan itu digunakan sepenuhnya untuk merapatkan ukhuwah sambil menyediakan pelbagai juadah istimewa secara bergotong-royong.

Ujar Hui Lang, anak-anak perempuan akan memasak juadah raya manakala dia hanya memantau di dapur. Mereka menyediakan menu kegemaran keluarga sepanjang zaman termasuklah nasi minyak, ayam masak merah, laksa lemak dan nasi dagang.

"Pada hari Tahun Baharu Cina, kami menghidangkan kuih bakul kepada tetamu, manakala semasa Hari Raya, kami menyediakan lemang dan ketupat," kata Hui Lang yang anak-anaknya kini berusia antara 52 hingga 74 tahun.

Anak bongsu, Nur Laila Qarina Boon Hashim, 52, berkata, membesar dalam keluarga yang pelbagai latar belakang mengajarnya dan adik-beradik tentang kepentingan rasa hormat serta persefahaman.

"Kami menghargai setiap sambutan, sama ada Tahun Baharu Cina, Hari Raya mahupun Krismas. Emak sentiasa mengingatkan kami bahawa keluarga adalah keutamaan mengatasi segala-galanya," katanya yang mempunyai dua orang cahaya mata.

Hui Lang gembira apabila cucu dan cicit memeluknya.
Hui Lang gembira apabila cucu dan cicit memeluknya.

Ujar Nur Laila lagi, walaupun berbeza kepercayaan, mereka adik-beradik tetap akrab, malah ada yang tinggal di bawah satu bumbung demi memastikan ibu mereka sentiasa dikelilingi oleh orang tersayang.

"Tiada istilah tidak mahu bertegur sapa hanya kerana perbezaan kepercayaan. Sebaliknya, hubungan kami semua masih kekal sama dan utuh seperti dahulu," jelasnya.

Sementara itu, kakaknya, Bon Niau Ying, 64, yang tinggal bersama Nur Laila dan Hui Lang memberitahu, ibu mereka akan berasa sangat teruja apabila semua ahli keluarga termasuk seorang lagi adik perempuan yang menetap di Tanjung Malim, Perak pulang berkunjung.

"Rumah ini akan menjadi riuh dengan perbualan rancak, termasuk dalam bahasa Tamil, sekali gus mencerminkan didikan unik keluarga kami.

"Walaupun ini perkara biasa bagi kami, namun pelawat seperti rakan lama dan jiran sering berasa kagum apabila melihat keakraban kami," luahnya dengan nada gembira.

Bagi cucunya, Nur Adawiyah Danish Boon, 22, mengakui beruntung kerana mempunyai jurang budaya yang sangat luas dalam keluarga sendiri.

"Kami raikan Krismas untuk nenek, kemudian Tahun Baharu Cina dan bila tiba masanya, kami balik pula ke rumah nenek sebelah emak untuk sambut raya.

"Pengalaman merasai setiap perayaan ini secara dekat buat saya rasa sangat gembira," kongsinya lagi.

Ringkasan AI

  • Seorang wanita berusia 95 tahun di Kuantan menyambut empat perayaan berbeza dalam setahun bersama keluarganya yang berbilang agama
  • Rumahnya menjadi tempat berkumpulnya 28 cucu dan 31 cicit sempena musim perayaan
  • Lima dari sepuluh anaknya telah memeluk Islam, menjadikan sambutan seperti Hari Raya dan Aidiladha sebahagian dari tradisi keluarga
  • Dia menghormati pilihan anak-anaknya berkahwin dengan pasangan dari pelbagai kaum dan agama
  • Generasi muda dalam keluarga ini menyelami kepelbagaian budaya dan bertutur dalam pelbagai bahasa, memupuk keharmonian dan pemahaman antara mereka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!