Lebih 100 NGO desak AS tarik sokongan Israel, henti provokasi terhadap Iran

KUALA LUMPUR - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) didesak agar memutuskan secara terbuka segala bentuk sokongan terhadap rejim Zionis Israel dan provokasi ketenteraan ke atas Iran yang dianggap sebagai pencetus ketegangan di Asia Barat.
Desakan itu dinyatakan dalam memorandum yang mengandungi lima tuntutan utama lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia kepada Kedutaan AS pada Jumaat.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa dunia Islam tidak boleh terus berdiam diri terhadap kekejaman rejim Zionis yang kini menyasarkan Iran selepas menghancurkan beberapa negara Arab sebelum ini.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, kelemahan negara-negara Islam menjadi faktor utama keberanian Israel melakukan kekejaman secara berterusan.
“Bukan Israel yang kuat, tetapi negara umat Islam yang lemah. Tunjuk perasaan hebat bukan berlaku di negara Islam, tetapi di negara Eropah. Lihatlah demonstrasi di New York, London, Rome dan Paris yang turut disertai bukan Islam atas dasar kemanusiaan,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Tolak Perang: Malaysia Pertahan Palestin dan Kedaulatan Iran berhampiran Kedutaan AS di sini pada Jumaat.

Mohamad berkata, Iran kini menjadi sasaran selepas Iraq, Syria dan Libya dihancurkan oleh kekuatan luar yang diketuai kuasa Zionis dan AS.
“Sekarang giliran Iran, dulu Libya, Syria dan Iraq. Apakah negara Arab yang lain tidak akan menjadi mangsa seterusnya?” soal beliau.
Menurut beliau, tindakan membunuh kanak-kanak Palestin yang hanya cuba mendapatkan makanan adalah bukti kezaliman rejim Israel yang tidak lagi mengenal sifat perikemanusiaan.
“Kita melihat sendiri bagaimana makanan diletakkan di satu tempat dan apabila kanak-kanak cuba mendapatkannya, mereka ditembak. Ini rejim yang zalim,” ujarnya.
Beliau turut menggesa agar umat Islam bersatu dan memanfaatkan kekuatan diplomasi serta kebajikan yang diamalkan Malaysia untuk terus mempertahankan hak rakyat Palestin dan Iran.
“Malaysia memainkan peranan secara diplomasi dan kebajikan. Negara-negara serantau mesti mengubah pendirian. Musuh kita yang sebenar ialah Zionis,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan isu penindasan di Palestin dan Iran bukan sekadar isu agama, tetapi krisis kemanusiaan sejagat.
“Saya bercakap sebagai warga manusia. Ini bukan isu umat Islam sahaja. Ini adalah isu kemanusiaan. Apa yang berlaku adalah pelanggaran hak asasi manusia,” katanya.
Mohd Azmi turut mendedahkan beliau menerima panggilan daripada media antarabangsa termasuk BBC dan CNN yang mempersoalkan pendiriannya.
“Saya jawab, ini bukan isu bangsa Arab atau Islam semata-mata. Ini soal kezaliman yang mesti kita tentang bersama,” katanya.
Menurutnya, pihaknya sudah menghantar mesej kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memohon izin berhimpun tanpa notis demi menyatakan solidariti terhadap Palestin dan Iran.
“Kita berhimpun bukan untuk tujuan lain tetapi bagi menyokong kenyataan dan pendirian kerajaan serta pemimpin dunia Islam,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohd Azmi menyelar sikap AS yang enggan menerima memorandum bantahan secara bersemuka.
“Kali ini kita hantar memorandum lagi, disokong lebih 100 NGO, ahli politik, media dan ulama tetapi wakil kedutaan hanya membenarkan kita bercakap melalui interkom di pintu pagar,” katanya.
Menurut beliau, tindakan itu membuktikan sikap pengecut AS dalam berdepan suara rakyat.
“Amerika adalah negara paling pengecut di bumi ini. Mereka enggan mendengar suara kebenaran,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!