Menjejak Zhejiang: Menganyam jalinan Sabah-China dalam inovasi dan peluang

HANGZHOU, CHINA - Hubungan Malaysia-China terus berkembang merentasi pelbagai bidang, dan lawatan delegasi media Sabah ke China baru-baru ini, menjadi peluang nyata untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor teknologi, pertanian dan pelancongan antara kedua-dua negara.
Bagi kumpulan wartawan yang menyertai delegasi itu, perjalanan ke China bukan sekadar lawatan rasmi, tetapi peluang menyaksikan sendiri kemajuan pesat dan inovasi negara tersebut, sekali gus membuka ruang baharu dalam mempererat hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Seramai 10 wartawan terdiri daripada ahli Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dan diketuai sendiri oleh Presiden SJA, Mariah Doksil, berada di wilayah Zhejiang selama lima hari yang diisi dengan pelbagai aktiviti, merangkumi lawatan teknologi, warisan budaya, sejarah, dan gaya hidup komuniti setempat.

Antara lokasi awal yang dikunjungi ialah syarikat teknologi Rokid, peneraju industri realiti tambahan (AR), realiti campuran (MR) dan kecerdasan buatan (AI). Lawatan itu memberi peluang kepada delegasi mencuba sendiri teknologi cermin mata pintar (AR Glasses) yang membolehkan pengalaman menonton skrin maya, mesyuarat dalam talian serta aplikasi pendidikan dan hiburan secara imersif.
Penulis turut berpeluang merasai pengalaman menonton skrin gergasi maya menerusi AR Glasses sambil melayari platform sosial popular China seperti Bilibili (setara YouTube), Douyin (TikTok China) dan Weibo/Wechat (setara Facebook dan Twitter).
Sebagai pusat inovasi utama, teknologi AI + AR yang dibangunkan di Zhejiang menjadi sebahagian daripada ekosistem digital China, dengan produk Rokid menerima sambutan menggalakkan dari seluruh dunia.
Selepas itu, delegasi turut dibawa melawat bandar masa depan yang menampilkan pembangunan bandar pintar, termasuk sistem kereta api berkelajuan tinggi yang sedang dipertingkat bagi menghubungkan wilayah utama di China.
Keterujaan kumpulan media pada hari pertama tidak berakhir di situ apabila rombongan kemudiannya dibawa melawat Muzium Zhejiang, yang memperlihatkan budaya lama dengan menyaksikan pameran artifak dari zaman Neolitik hingga Dinasti Ming dan Qing, termasuk barangan tembikar, jade, seni lukisan serta kaligrafi klasik.
Lawatan itu bukan sekadar menyingkap sejarah, tetapi juga memperlihatkan bagaimana muzium menggabungkan pelbagai eleman dalam pameran, memperkukuh pemahaman budaya antara masyarakat Malaysia, khususnya Sabah, dan China.
Seterusnya, delegasi media dibawa melawat Meigao Short Drama Super Factory di Qujiang, Quzhou iaitu kilang pembuatan drama pendek yang kini menjadi simbol industri kandungan digital baharu di China.
Kilang moden seluas sehingga 66,000 meter persegi itu menempatkan lebih 200 set penggambaran bertema pelbagai, termasuk hospital, mahkamah, vila, ruangan pejabat dan rumah tradisional serta moden yang membolehkan produksi dilakukan pantas tanpa perlu berpindah lokasi.
Model pengeluarannya bersifat 'one-stop', meliputi pembangunan skrip, penggambaran, penyuntingan hingga pengedaran, menjadikan proses penghasilan mikro drama lebih efisien, malah ada episod disiapkan dalam tempoh singkat.
Lawatan ke Meigao memberi gambaran jelas bagaimana industri kandungan pendek China bukan sahaja pesat dari segi kuantiti, tetapi turut inovatif dalam teknik produksi, tema dan strategi pasaran antarabangsa.

Tidak habis di situ, delegasi turut dibawa ke perkampungan budaya Yudong, di mana setiap wartawan berpeluang menghasilkan kraftangan sendiri sebagai kenangan sebelum pulang ke tanah air.
Panorama desa yang tersusun indah menimbulkan persoalan adakah penduduk di wilayah itu masih bergiat dalam pertanian tradisional. Persoalan itu terjawab apabila delegasi melawat Akademi Sains Pertanian Jinhua, pusat penyelidikan moden yang menjadi nadi kepada pertanian pintar di wilayah tersebut.
Di akademi itu, pelbagai tanaman bermusim dihasilkan melalui sistem rumah hijau berteknologi tinggi dengan kawalan kelembapan, air, suhu dan pencahayaan automatik. Penyelidik turut menjalankan kajian bagi meningkatkan hasil serta kualiti tanaman.
Tidak hairanlah sepanjang lawatan, penulis dan rakan wartawan dihidangkan sekitar 10 jenis sayuran segar setiap kali makan tengah hari dan malam, mencerminkan kemajuan pertanian moden yang tetap berakar pada identiti tempatan.
Tidak lengkap sekiranya delegasi tidak dibawa ke pusat pelancongan ikonik di wilayah itu, salah satu lokasi yang pernah tular di media sosial dikenali sebagai 'Little Iceland' atau Dland di Jiulong Village, Jinhua, menjadi tempat persinggahan untuk merakam gambar kerana keunikan lanskapnya.
Dland terletak di kawasan bekas kuari batu kapur seluas lebih 80 hektar dengan landskap dramatik, bukit kelabu kehitaman dan kolam berair kehijauan menyerupai zamrud.
Dengan tiket masuk berharga 78 yuan (sekitar RM51) serta perjalanan kira-kira tiga jam dari Hangzhou dan 40 minit dari Jinhua, lokasi ini dianggap berbaloi untuk dilawati. Keindahan landskapnya menjadikan Dland destinasi ideal bagi pengunjung merakam kenangan berlatar panorama semula jadi menakjubkan.
Dalam era media sosial kini, lokasi seperti Dland juga menjadi tumpuan mereka yang gemar bergaya dan merakam foto 'Outfit of the Day (OOTD)', menjadikannya medan ekspresi gaya hidup moden yang menggabungkan seni, alam dan keindahan visual.
Pada hari terakhir sebelum berlepas pulang ke Kota Kinabalu, delegasi media dibawa ke Yiwu International Trade City, pusat borong terbesar di dunia yang terletak di wilayah Zhejiang.
Pasar ini menempatkan lebih 75,000 gerai dalam kawasan seluas 5.5 juta meter persegi, menarik lebih 210,000 pengunjung setiap hari yang datang membeli-belah dan meninjau pelbagai produk seperti aksesori fesyen, barangan rumah, mainan, tekstil serta barangan tular di media sosial.
Pengalaman di Yiwu membuka mata wartawan terhadap cara sistem perdagangan global beroperasi, daripada produk harian kecil hingga barangan eksport unik yang dihantar ke lebih 200 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Pasar ini dibahagikan kepada lima kawasan utama (District 1–5) mengikut kategori barangan, turut menempatkan produk import dari lebih 100 negara termasuk Asia Tenggara, Eropah dan Timur Tengah.

Dalam kesibukan pasar itu, penulis dan rakan wartawan berpeluang bertemu seorang usahawan dari Pulau Pinang, Aileen Lim, 50, yang sudah lebih 10 tahun memasarkan produk Malaysia di Yiwu, termasuk sarang burung walit dan durian Musang King yang mendapat sambutan menggalakkan.
Menurut Aileen, pelbagai produk makanan terkenal dari Malaysia telah lama menembusi pasaran China dan beliau yakin produk dari Sabah turut berpotensi besar berkembang di wilayah tersebut, memandangkan negeri itu kini menjadi destinasi utama pelancong China ke Malaysia.
Lawatan ke Yiwu menjadi penutup sempurna misi delegasi media, membawa mereka menelusuri bukan sahaja aspek perdagangan dan keusahawanan, tetapi juga memahami bagaimana hubungan dua hala Malaysia-China terus berkembang melalui pertukaran budaya, teknologi dan peluang pelaburan global.
Sementara itu, Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Zhu Xinglong, menyifatkan lawatan delegasi media Sabah ke Zhejiang sebagai amat bermakna kerana memberi pemahaman mendalam mengenai pembangunan ekonomi dan sosial China, selain pengalaman langsung budaya tradisional dan pencapaian pengurangan kemiskinan di kawasan luar bandar.
“Melalui lawatan ini, anda bukan sahaja dapat memahami pembangunan Zhejiang secara mendalam, tetapi juga mengalami sendiri budaya tradisional China dan kejayaan mereka dalam pengurangan kemiskinan di luar bandar,” katanya.
Tambah beliau, lawatan itu dijangka memperkukuh hubungan Sabah-China melalui beberapa cara, termasuk mempromosi peluang pelaburan di Sabah, membuka pasaran untuk produk tempatan seperti kopi, sarang burung, dan durian, serta meningkatkan pertukaran budaya dan pelancongan antara kedua-dua pihak.
“Pertemuan bersemuka ini juga mengukuhkan ikatan rakyat, selain meletakkan asas kukuh untuk kerjasama masa depan dalam pendidikan, pertukaran belia, dan perkongsian bandar kembar.
"China adalah rakan dagang terbesar Sabah dan sumber pelancong utama. Kami berharap rakan media akan berkongsi kisah persahabatan China–Malaysia ini dengan lebih meluas, supaya lebih ramai memahami pembangunan China dan peluang kerjasama yang tersedia,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Hubungan Malaysia-China berkembang merentasi sektor teknologi, pertanian dan pelancongan
- Delegasi media Sabah melawat Zhejiang, merasai kemajuan teknologi dan budaya setempat
- Lawatan termasuk ke syarikat teknologi Rokid, pembangunan realiti tambahan (AR) dan kecerdasan buatan (AI)
- Pengalaman kebudayaan melalui muzium dan pembuatan drama pendek menunjukkan inovasi dan tradisi
- Lawatan ke Yiwu International Trade City menonjolkan potensi perdagangan dan peluang pelaburan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
