MITI fokus perkasa wanita dalam perdagangan dan industri – Tengku Zafrul

Tengku Zafrul. Foto Bernama
Tengku Zafrul. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengenal pasti beberapa keutamaan penting untuk memperkasakan wanita dalam perdagangan dan industri antaranya dari segi pembiayaan dan akses kepada sumber.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, menerusi keutamaan itu, usahawan wanita dapat dipastikan memperoleh akses yang lebih baik kepada kredit, pembiayaan perdagangan, modal teroka dan pembiayaan hijau.

"Keutamaan penting lain adalah pemerkasaan dari segi digital, kemampanan, kepimpinan dan bimbingan, serta kerjasama serantau.

"Pemerkasaan dari segi digital akan melengkapkan wanita dengan instrumen untuk memanfaatkan e-dagang, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber bagi perdagangan rentas sempadan,” katanya ketika berucap di forum "Unleashing the Power of Women in ASEAN: Trade and Industry Across Borders” di sini, hari ini.

Beliau berkata, aspek kemampanan bertujuan membolehkan perniagaan yang diterajui wanita mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta memanfaatkan peluang dalam tenaga boleh baharu dan ekonomi kitaran.

Sokongan terhadap kepimpinan dan bimbingan pula menyasarkan pembinaan rangkaian rentas sempadan dengan pemimpin berpengalaman membimbing usahawan baharu, katanya.

Beliau berkata, kerjasama serantau pula memberi tumpuan kepada penggunaan rangka kerja ASEAN seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan inisiatif Ekonomi Digital ASEAN untuk memperluas akses pasaran.

Tengku Zafrul berkata, wanita di Malaysia membentuk hampir separuh daripada populasi, namun kurang daripada satu pertiga yang menjadi pemilik perniagaan.

"Ini adalah jurang yang tidak boleh dan tidak dapat kita abaikan. Oleh itu, keterangkuman juga menjadi teras dalam rancangan ekonomi MITI, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-duanya bertujuan mewujudkan peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk yang diterajui wanita, untuk berkembang di peringkat serantau dan global,” katanya.

Tengku Zafrul yang memetik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata terdapat lebih 219,015 perniagaan aktif yang dimiliki wanita di Malaysia pada 2022, yang secara kolektif menyumbang RM137 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Di peringkat ASEAN, perusahaan yang diterajui wanita berperanan penting dalam perdagangan intra-serantau dan rantaian bekalan global, katanya.

"Bagi memanfaatkan potensi ini, kerajaan perlu merungkai halangan dan membolehkan usahawan wanita untuk berkembang, berinovasi dan bersaing merentas sempadan,” katanya. - Bernama

Ringkasan AI

  • MITI mengenal pasti keutamaan penting memperkasakan wanita dalam perdagangan dan industri termasuk pembiayaan dan akses sumber
  • Usahawan wanita dapat memperoleh akses lebih baik ke kredit dan pembiayaan hijau
  • Pemerkasaan digital dan kemampanan antara keutamaan untuk melengkapkan wanita dalam e-dagang dan amalan ESG
  • Sokongan kepimpinan dan bimbingan melalui rangkaian rentas sempadan serta kerjasama ASEAN penting untuk perluas akses pasaran
  • Wanita membentuk hampir separuh populasi Malaysia tetapi kurang daripada satu pertiga jadi pemilik perniagaan, kontribusi signifikan kepada GDP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!