X

Kindly register in order to view this article
!

14 kompaun sudah dikeluarkan kepada penjaja degil - MPK

MPK akan terus melaksanakan pemantauan agar semua pemilik premis akur dengan arahan perintah Kawalan pergerakan yang berkuatkuasa hingga 31 Mac ini. - Foto Ihsan MPK
A
A

KUANTAN- Majlis Perbandaran Kuantan ( MPK) mengeluarkan 14 kompaun kepada pemilik premis perniagaan dan penjaja di daerah ini atas kegagalan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac lalu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, 11 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis perniagaan kerana terus beroperasi selepas arahan penutupan premis dikeluarkan.

Menurutnya, dua penjaja dikompaun kerana terus membenarkan pelanggan makan di gerai mereka selepas teguran diberikan sebelum itu manakala satu premis dikompaun kerana beroperasi tanpa lesen.

"Kebanyakan premis perniagaan yang dikompaun itu adalah kedai perkakasan yang tidak tersenarai dalam senarai premis yang dibenarkan beroperasi mengikut masa yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norkamawati berkata, kesedaran peniaga terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan di daerah ini semakin baik dan rata-rata daripada mereka mula akur dan mematuhinya.

"Cuma pada awal pelaksanaannya sehingga 21 Mac lalu, jumlah mereka yang gagal mematuhi perintah ini agak tinggi mungkin kerana kurang faham dan tidak mendapat maklumat jelas.

"Walau bagaimanapun pihak MPK tetap meneruskan pemantauan agar arahan itu dipatuhi semua pihak bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) ini,"katanya.

Sementara itu, Norkamawati berkata, MPK turut mengambil beberapa langkah pencegahan di pasar awam di daerah ini termasuk di Pasar Besar Kuantan.

Menurutnya, antara langkah diambil termasuk menampal notis peringatan dan langkah pencegahan sebagai panduan pengunjung sepanjang berada di premis tersebut.

"Pihaknya juga mengadakan pengumuman melalui siar raya untuk mengingatkan orang ramai terhadap langkah pencegahan...apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan termasuk jarak sosial yang perlu dipatuhi ketika membeli keperluan di pasar-pasar.

"Selain itu, kita juga mengadakan saringan suhu badan kepada pengunjung," katanya.