PM mahu pusat peniaga kecil dan penjaja lebih bersih, indah

Anwar melihat pelbagai juadah makanan di medan selera pada majlis perasmian D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar melihat pelbagai juadah makanan di medan selera pada majlis perasmian D'Anjung Selera Madani Jalan Jujur, Bandar Tun Razak pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak bertanggungjawab di semua peringkat merancang ubah wajah penempatan gerai peniaga kecil dan penjaja di seluruh negara kepada infrastruktur lebih selesa, indah dan bersih.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mewujudkan pelan tersebut sebagai usaha mengangkat martabat sekali gus memberi penghormatan serta ihsan kepada golongan berpendapatan kecil, khususnya peniaga.

"Kita tukar wajah KL (Kuala Lumpur) dalam satu atau dua tahun ini. Bila tengok gerai, ia cantik dan bersih.

"Ini harus berlaku di semua kota, tidak hanya di KL (Kuala Lumpur), PJ (Petaling Jaya), Klang, Shah Alam, Pulau Pinang, Ipoh, Kuantan, Kota Bharu dan Alor Setar.

"Kita mesti ada dasar jelas, tunjukkan prihatin pada kelompok peringkat bawah. Kita tidak mahu ini dianggap saranan politik tetapi mahu tindakan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian D'Anjung Selera Madani di Bandar Tun Razak pada Sabtu.

Dalam pada itu Anwar berkata, rancangan pembangunan tersebut perlu dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua tahun sahaja.

Beliau menegaskan, setiap kementerian dan jabatan kerajaan perlu ada perubahan minda dalam pembangunan demi keperluan serta kepentingan rakyat.

"Saya tidak mahu slogan Madani seperti kosong. Orang perlu tahu apabila ada Madani, ada sifat ihsan (dan) kasih sayang.

"Program pembangunan perlu disiapkan cepat, contoh kalau enam bulan (tempoh), saya tidak mahu, saya nak siap cepat jadi tiga bulan kerana kita sudah tinggalkan peluang ini sudah lama.

"Walaupun ada kekangan kewangan, tetapi inilah masanya kita gunakan kuasa sebaiknya jalankan amanah," ujarnya.