JAS keluar notis kepada pemilik tapak sampah haram

Raven Kumar (kanan) dan Dr Mohd Famey meninjau tapak pembuangan sampah haram di Ulu Choh.
Raven Kumar (kanan) dan Dr Mohd Famey meninjau tapak pembuangan sampah haram di Ulu Choh.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebuah tapak pembuangan sampah haram di Ulu Choh dikenakan tindakan notis oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor susulan berlaku pembakaran terbuka di situ.

Pengarah JAS Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata notis berkenaan dikeluarkan kepada pemilik tanah.

"JAS sudah mengeluarkan notis menghentikan pembakaran terbuka kepada pemilik tanah persendirian di kawasan Ulu Choh berikutan tapak tanahnya itu dijadikan tapak pembuangan sampah haram.

"Di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven Kumar berkata, banyak aduan telah diterima berhubung masalah pembakaran terbuka tapak sampah haram di Ulu Choh.

Susulan itu, beliau bersama JAS Johor telah melalukan lawatan tapak bagi mengenal pasti punca dan menyelesaikan masalah kebakaran terbuka ini.

"Masalah kebakaran terbuka timbunan sampah sarap di tapak pelupusan sampah haram termasuk di Ulu Choh semakin menjadi-jadi.

"Oleh itu, satu jawatankuasa pasukan khas akan diwujudkan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT), JAS, SWCorp Sdn Bhd, pejabat daerah dan pemilik tanah bagi mencari jalan penyelesaian memastikan kerja pembersihan sampah di tapak itu dapat dilaksanakan," katanya.