Operasi 'saman ekor' bermula, kompaun dihantar ke rumah

Penguatkuasaan terhadap kesalahan memandu laju bagi pengeluaran notis K170A telah dikuat kuasa bermula Isnin. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Nasri)
Penguatkuasaan terhadap kesalahan memandu laju bagi pengeluaran notis K170A telah dikuat kuasa bermula Isnin. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Nasri)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) kini melaksanakan operasi saman tembak laju atau saman ekor di seluruh negara, bermula Isnin.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, susulan itu, pesalah trafik yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan di jalan Persekutuan dan lebuh raya akan dikenakan saman dan notis saman K170A yang akan diposkan ke alamat kediaman masing-masing.

Menurutnya, kesalahan memandu melebihi had laju ini akan dijalankan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah.

"Sebanyak 8,718 saman K170A telah dikeluarkan pada semalam (Isnin).

"Pecahan saman mengikut kenderaan adalah 8,352 kereta, motosikal (44) manakala kenderaan perdagangan dan perkhidmatan sebanyak 322," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, penguatkuasaan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju akan dijalankan secara berterusan bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang ditetapkan di dalam negara.

Ujarnya, memandu melebihi kelajuan ditetapkan adalah salah satu punca utama kemalangan jalan raya di negara ini di mana pemandu gagal mengawal kenderaan hingga berlaku hilang kawalan.

"Notis pemberitahuan saman K170A bagi kesalahan memandu melebihi had laju akan disampaikan kepada pemilik kenderaan mengikut alamat lesen memandu secara pos surat berdaftar," ujarnya.

Tambahnya, JSPT akan menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju yang ditetapkan.

“Saman kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan kepada mereka yang dikesan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, adalah menjadi tanggungjawab pemilik kenderaan memberi butiran pemandu kenderaan yang telah melakukan kesalahan tersebut dalam tempoh tujuh hari dari penerimaan notis pemberitahuan kesalahan.

"Semua kesalahan memandu melebihi had laju boleh dikompaun dan dijelaskan di mana mana bahagian trafik daerah di seluruh negara," jelasnya.