Pemisahan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya dibentang tahun depan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. Foto fail Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Perlembagaan bagi melaksanakan pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan dan dijadual akan dibentangkan pada tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Jemaah Menteri pada 10 September lalu telah bersetuju menerima pakai model pengasingan sepenuhnya dengan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya dipegang dua individu berbeza dengan kedudukan yang setara.

“Berikutan keputusan tersebut, langkah seterusnya dalam menjayakan reformasi ini adalah meminda Perlembagaan terlebih dahulu bagi memberikan punca kuasa yang sah untuk melaksanakan pemisahan peranan dan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

"Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan itu dijangka dibentangkan pada tahun depan. Kerajaan juga akan membentangkan dua Rang Undang-Undang (RUU) susulan selepas pindaan tersebut dikuatkuasakan.

“Selain itu, lebih 20 akta perlu dipinda bagi menjayakan pelaksanaan menyeluruh pemisahan kuasa tersebut termasuk Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah, Akta Keterangan, Akta Imigresen dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) tentang status terkini cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Tambah Azalina, kerajaan juga menjalankan kajian perbandingan di beberapa negara seperti Kanada, Australia dan United Kingdom bagi meneliti amalan terbaik, sekali gus menjamin kebebasan pendakwaan selepas pemisahan kuasa dilaksanakan.

Selain itu, pasukan petugas khas juga telah melaksanakan kajian komparatif, doktrinal dan saintifik kemasyarakatan sebagai asas kepada pelaksanaan reformasi besar ini secara menyeluruh dan telus.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Takiyuddin mengenai kemungkinan Peguam Negara menjadi anggota pentadbiran selepas pemisahan kuasa, beliau menjelaskan ia akan dimuktamadkan melalui keputusan dasar Jemaah Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Isunya ialah sama ada kita mahu Peguam Negara hadir ke Parlimen.

"Sudah tentu, jika Peguam Negara hadir ke Parlimen, beliau perlu menjadi ahli Parlimen sama ada sebagai senator atau ahli Dewan Rakyat," katanya.

Ringkasan AI

  • Pindaan Perlembagaan bagi pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentangkan tahun depan
  • Model pengasingan sepenuhnya akan diadopsi, dengan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dipegang oleh dua individu berbeza
  • Lebih 20 akta termasuk Kanun Keseksaan perlu dipinda untuk pelaksanaan pemisahan kuasa ini
  • Kerajaan menjalankan kajian perbandingan dengan negara lain untuk menjamin kebebasan pendakwaan
  • Keputusan mengenai Peguam Negara menjadi anggota pentadbiran akan dimuktamadkan melalui keputusan dasar Jemaah Menteri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!