Projek air Sungai Perak-Bukit Merah mula tahun depan

Fadillah (lima dari kiri) menyampaikan Anugerah Khas Sumber Air 2025 kepada pemenang sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2025 peringkat kebangsaan di Sungai Batu Tegoh, Padang Merbok, pada Sabtu.
Fadillah (lima dari kiri) menyampaikan Anugerah Khas Sumber Air 2025 kepada pemenang sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2025 peringkat kebangsaan di Sungai Batu Tegoh, Padang Merbok, pada Sabtu.
A
A
A

TAIPING – Projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah dijangka mula dilaksanakan tahun depan selepas mendapat kelulusan di peringkat Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini Kementerian Kewangan sedang memuktamadkan kaedah pelaksanaan memandangkan projek berkenaan melibatkan dana daripada luar negara.

“Insya-ALLAH, projek pemindahan air Sungai Perak ke Bukit Merah akan dilaksanakan tahun depan.

"Kelulusan Kabinet telah diperoleh dan kini kita hanya menunggu keputusan muktamad daripada Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia 2025 peringkat kebangsaan di Sungai Batu Tegoh, Padang Merbok di sini pada Sabtu.

Fadillah berkata, kerajaan juga memberi tumpuan terhadap pelaksanaan rancangan tebatan banjir di Perak, khususnya di kawasan utara negeri itu yang kerap terjejas akibat banjir.

Katanya, antara projek utama yang sedang dirancang ialah gabungan pembangunan di Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) dengan rancangan tempatan tebatan banjir di Sungai Sama Gagah, bagi memperluas liputan kawasan perlindungan banjir di daerah Kerian dan sekitarnya.

“Projek di KIGIP itu asalnya dilaksanakan oleh pihak swasta, tetapi selepas penilaian dibuat, kita dapati ia hanya dapat mengurangkan risiko banjir di sebahagian kawasan.

“Justeru, melalui bengkel yang diadakan, kita putuskan supaya ia digabungkan dengan projek di Sungai Samagagah agar kesannya lebih menyeluruh bagi kawasan utara Perak,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Fadillah berkata, kerajaan kini menunggu kelulusan tambahan peruntukan kira-kira RM400 juta bagi tujuan tebatan banjir yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Sementara itu, beliau turut menegaskan kepentingan semua pihak memainkan peranan menjaga kebersihan sungai sebagai sumber utama air negara.

“Kalau kita mahu jaminan bekalan air untuk kegunaan harian, pertanian, perladangan dan industri, sungai mesti dijaga dengan baik.

“Kerajaan tidak mampu melakukannya sendirian. Setiap individu, masyarakat, NGO, syarikat dan agensi kerajaan perlu bersama memantau dan mengelak pencemaran sungai,” katanya.

Dalam masa sama, Fadillah berkata, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang memantau punca kejadian banjir di Taiping baru-baru ini yang didakwa berlaku di kawasan sebelum ini tidak pernah terjejas.

Menurutnya, langkah-langkah jangka pendek dan panjang akan diambil bagi mengurangkan kesan bencana dan mengelak kehilangan nyawa penduduk setempat.

Ringkasan AI

  • Projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah bakal dilaksanakan tahun depan setelah mendapat kelulusan kabinet
  • Pelaksanaan projek melibatkan dana dari luar negara dan sedang dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan
  • Fokus juga diberikan kepada pelaksanaan rancangan tebatan banjir di Perak utara untuk mengatasi masalah banjir
  • Projek gabungan pembangunan di Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian dengan rancangan tempatan tebatan banjir di Sungai Sama Gagah diusulkan untuk perlindungan banjir yang lebih menyeluruh
  • Kerajaan menunggu kelulusan tambahan peruntukan kira-kira RM400 juta untuk tebatan banjir yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!