TPR ditahan kes dadah dipindah ke Jabatan Peguam Negara sementara tunggu siasatan

Mohd Dusuki
Mohd Dusuki
A
A
A

KOTA BHARU – Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan polis kerana disyaki memiliki dadah minggu lalu dipindahkan ke Jabatan Peguam Negara sementara menunggu keputusan siasatan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, tindakan pentadbiran itu dibuat bagi memastikan integriti perkhidmatan undang-undang terpelihara sementara laporan penuh siasatan diperoleh.

“Perlu lihat bagaimana hasil siasatan terhadap dakwaan pemilikan dadah dan sebagainya.

“Sementara ini, dia dipindahkan ke pejabat Jabatan Peguam Negara,” katanya ketika ditemui di pekarangan Istana Balai Besar di sini pada Isnin.

Beliau sebelum itu menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-56.

Mohd Dusuki menjelaskan, pegawai berkenaan kini ditempatkan di jabatan tersebut tanpa sebarang tugas atau kerja khusus sehingga keputusan siasatan lengkap diumumkan.

“Penempatan ini bukan bermaksud keputusan tatatertib, tetapi perlu tunggu contohnya ujian air kencing dia dahulu.

“Kita tunggu hasil siasatan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan pegawai berkenaan yang baharu melapor diri di suruhanjaya itu ditahan polis selepas pemeriksaan menemui bahan terlarang disyaki dadah di kediamannya.

Artikel Berkaitan:

SPRM menegaskan pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan memberi jaminan kerjasama penuh selain tidak berkompromi dengan sebarang salah laku atau pelanggaran undang-undang oleh mana-mana pegawai.

Ringkasan AI

  • Timbalan Pendakwa Raya SPRM disyaki memiliki dadah dan ditahan polis
  • Dipindahkan sementara ke Jabatan Peguam Negara menunggu keputusan siasatan
  • Tindakan pentadbiran untuk memastikan integriti perkhidmatan undang-undang terpelihara
  • Pegawai tersebut ditempatkan tanpa tugas khusus sehingga keputusan siasatan lengkap
  • SPRM menyerahkan siasatan kepada polis dan beri jaminan kerjasama penuh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!