Nikmati air nira segar di kebun nipah

KEPALA BATAS - Tekad mahu meneruskan perniagaan warisan ayah menjadi pendorong utama Khadijaton Othman, 40, bersama adik-beradiknya untuk mengusahakan Kebun Nipah Pak Man di Penaga.
Perniagaan yang bermula secara kecil-kecilan pada 2004 sebelum ini hanya fokus kepada jualan air nira nipah di beberapa pasar pagi dan pasar malam di sekitar Seberang Perai.
Namun, ia kini berkembang menjadi destinasi pelancongan menarik di Penaga, terkenal sebagai Kebun Nipah Pak Man.
Menurut Khadijaton, ayahnya dikenali ramai sebagai penjual air nira nipah di kawasan Seberang Perai.
“Ayah mula berniaga hampir dua dekad lalu tetapi pada 2022, ayah diserang strok menyebabkan dia tak mampu meneruskan rutin harian mengutip nira dan menjualnya di pasar.
“Selepas ayah jatuh sakit, kami sekeluarga berbincang dan sepakat untuk teruskan perniagaannya.
“Kami mahu realisasikan impian ayah yang mahu menjadikan kebun ini tempat orang ramai menikmati air nira dalam suasana semula jadi,” katanya kepada Sinar Harian.

Khadijaton berkata, Kebun Nipah Pak Man merangkumi kawasan seluas 1.2 hektar, dipenuhi pokok nipah berusia lebih 30 tahun yang ditanam sendiri oleh ayahnya sejak 1980-an.
Menurutnya, kawasan itu dahulu tempat memproses dan menoreh nira, kini berubah wajah menjadi lokasi santai yang meriah setiap hujung minggu.
“Pada awalnya kami hanya sediakan tempat untuk orang ramai datang minum air nira dan berehat.
“Kemudian kami tambah baik dengan sediakan beberapa gerai menjual pelbagai makanan sambil orang ramai boleh bersantai dan menikmati keindahan alam.
“Pelbagai menu seperti mi udang, mi tulang, laksa, nasi goreng udang dan produk berasaskan nira seperti jeli nira serta cuka nipah ada dijual di sini,” ujarnya.
Menurut Khadijaton, Kebun Nipah Pak Man mula beroperasi sepenuhnya pada 31 Ogos 2022.
Hujung minggu paling sibuk
Tambahnya, hujung minggu sememangnya hari paling sibuk kerana kebun berkenaan menjadi tumpuan ramai pengunjung.
“Ada yang datang bersama keluarga, ada juga pelancong luar negara. Kami pernah terima pelancong dari China dan United Kingdom yang memang datang untuk melihat tanaman nipah serta belajar proses penghasilan air nira,” katanya.

Ditanya cabaran yang pernah dihadapi sepanjang mengusahakan Kebun Nipah Pak Man, Khadijaton berkata, cabaran utama ialah kekurangan tenaga kerja dan kos penyelenggaraan yang tinggi bagi mengekalkan keindahan kawasan.
“Kami adik-beradik semua ada kerja tetap, jadi untuk uruskan kebun dan gerai, pembahagian masa itu penting.
“Buat masa ini kami hanya mampu buka dua hari seminggu iaitu Sabtu dan Ahad dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang. Kalau air nira habis awal, kami tutup lebih awal,” katanya.
Khadijaton berharap Kebun Nipah Pak Man akan terus dikenali sebagai ikon agro pelancongan di Pulau Pinang dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi perniagaan warisan keluarga.
“Kami mahu jadikan kebun ini sebagai tempat untuk pelancong dan orang ramai belajar tentang manfaat pokok nipah,” katanya.
Ringkasan AI
- Tekad mahu meneruskan perniagaan warisan ayah memacu Khadijaton Othman bersama adik-beradik mengusahakan Kebun Nipah Pak Man di Penaga
- Kebun Nipah Pak Man yang bermula dari jualan air nira sejak 2004 kini menjadi destinasi pelancongan menarik
- Kawasan berkeluasan 1.2 hektar itu merangkumi pokok nipah berusia lebih 30 tahun yang ditanam oleh ayah Khadijaton sejak 1980-an
- Kebun beroperasi sepenuhnya pada 31 Ogos 2022, menawarkan pelbagai makanan dan aktiviti sambil menikmati keindahan alam
- Khadijaton berharap kebun tersebut akan menjadi ikon agro pelancongan dan inspirasi untuk generasi muda menceburi perniagaan warisan keluarga
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
