Bergaduh kerana tanah warisan, abang tikam adik hingga maut

PEKAN BARU – Pertikaian mengenai tanah warisan keluarga bertukar tragedi apabila seorang lelaki di Kampar, Riau bertindak membunuh adik kandungnya sendiri selepas berlaku pergaduhan di Desa Sendayan, Jumaat lalu.
Suspek, Ahmad Kholis, 49, dilaporkan menyesal atas perbuatannya selepas menikam adiknya, Risman Riyanto, 43, hingga maut dalam kejadian sekitar pukul 7 malam waktu tempatan itu.
Menurut laporan Kompas.com, siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus apabila mangsa datang meminta tanda tangan abangnya bagi menyiapkan dokumen sempadan tanah warisan peninggalan ibu bapa mereka.
“Tanah warisan kami dibahagi dua, hanya kami berdua anak lelaki. Dia datang ke warung saya minta saya tandatangan sempadan tanah. Saya kata biar sempadannya dibuat betul-betul, bukan sekadar parit kecil,” kata Ahmad ketika ditemu bual selepas ditahan polis.
Pertengkaran bertukar ganas apabila Ahmad enggan menandatangani dokumen tersebut dan mangsa bertindak menyerang dengan pisau, menyebabkan kecederaan di perut, kepala dan lengan.
Seorang penduduk tempatan, Nurman, cuba meleraikan namun gagal apabila mangsa terus mengejar abangnya. Ahmad kemudian mencapai parang untuk mempertahankan diri sebelum berlaku pergelutan yang mengakibatkan adiknya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
“Saya hanya membela diri,” ujar Ahmad yang kini ditahan di Balai Polis Kampar.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Kampar, AKP Gian Wiatma Jonimandala, mengesahkan insiden itu berpunca daripada pertikaian tanah keluarga.
“Pertengkaran antara dua beradik ini membawa kepada kematian seorang daripadanya. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.
Tragedi berdarah itu sekali lagi membuka isu perebutan harta warisan keluarga yang sering menjadi punca permusuhan dalam kalangan ahli keluarga sendiri. – Agensi
Ringkasan AI
- Pertikaian tanah warisan antara dua beradik di Kampar, Riau bertukar tragedi dengan pembunuhan
- Pelaku, Ahmad Kholis, membunuh adik kandungnya, Risman Riyanto, akibat pertengkaran menandatangani dokumen sempadan tanah
- Pergaduhan terjadi apabila mangsa menuntut tanda tangan untuk dokumen sempadan tanah warisan ibu bapa mereka
- Pertengkaran meningkat menjadi pergelutan fizikal yang akhirnya membawa kepada kematian Risman akibat kecederaan parah
- Insiden ini membuka isu perebutan harta warisan dalam keluarga yang sering menjadi punca permusuhan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

