Man-Tee tukar tekanan jadi tenaga buru slot Jelajah Dunia Akhir

Wei Chong–Kai Wun menyifatkan tekanan sebagai motivasi untuk mereka tampil lebih baik. Foto: Agensi
Wei Chong–Kai Wun menyifatkan tekanan sebagai motivasi untuk mereka tampil lebih baik. Foto: Agensi
A
A
A

BEREGU badminton lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun, mengakui tidak dapat lari daripada tekanan dan harapan tinggi penyokong, namun bertekad menukarkannya menjadi sumber kekuatan menjelang siri kejuaraan Eropah bulan ini.

Menurut Wei Chong, rasa tekanan itu lumrah bagi mana-mana pemain yang berada pada tahap tertinggi, namun yang membezakan adalah cara menguruskannya di gelanggang.

“Memang sebab kita sudah sampai tahap ini, memang akan rasa tekanan.

"Tapi yang penting, kita tukarkan tekanan itu jadi motivasi untuk kita.

"Kita hanya cuba bagi yang terbaik di gelanggang,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Ketika ini, gandingan Man-Tee berada pada prestasi konsisten dan peluang mereka untuk melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hujung tahun ini seiring rakan senegara Aaron Chia–Soh Wooi Yik.

Selepas tempoh latihan intensif, pasangan juara Malaysia Masters itu akan memulakan kempen Eropah dengan empat kejohanan berturut-turut — Terbuka Arctic (7–12 Oktober), Terbuka Denmark (14–19 Oktober), Terbuka Perancis (21–26 Oktober) dan Terbuka Hylo (28 Oktober–2 November).

Mengulas lanjut Wei Chong menegaskan, fokus utama mereka kini terarah kepada usaha menebus kekecewaan musim lalu apabila gagal melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir akibat prestasi tidak menentu di penghujung saingan.

“Ya, itu sudah pasti sasaran utama sebab kita pun tak pernah lepas. Sekarang kita ranking keempat dunia (Jelajah Dunia Akhir), tapi kejohanan kita pun sudah hampir penuh sebab maksimum 14 kejohanan.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah menyertai 13 kejohanan, jadi harap baki kejohanan ini boleh kekal sekurang-kurangnya sampai suku akhir atau separuh akhir supaya boleh layak,” katanya.

Tambahnya, pengalaman musim lalu menjadi pengajaran berguna agar kesilapan sama tidak berulang dan mereka lebih bersedia menghadapi tekanan kempen hujung tahun ini.

“Tahun lalu kita hampir layak tapi gagal disebabkan aksi tidak konsisten pada beberapa kejohanan terakhir. Jadi kali ini kita lebih fokus dan mahu pastikan keputusan yang stabil di setiap kejohanan,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • BEREGU badminton lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun, menghadapi tekanan tetapi bertekad mengubahnya menjadi kekuatan
  • Mereka berada pada prestasi konsisten dan peluang melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF hujung tahun
  • Pasangan juara Malaysia Masters itu akan memulakan kempen Eropah dengan empat kejohanan berturut-turut
  • Fokus utama adalah menebus kekecewaan musim lalu apabila gagal melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir
  • Pengalaman musim lalu menjadi pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan dan lebih bersedia menghadapi tekanan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!