Guru KAFA rayu selaras elaun ikut gaji minimum

SUNGAI PETANI - Rata-rata guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) merayu agar elaun mereka diselaraskan mengikut paras gaji minimum bersesuaian peredaran masa kini sekali gus menyeimbangi keperluan dan kos sara hidup yang tinggi.
Rosli Azad Mohamad, 42, berkata, harapan tinggi diluahkan golongan itu dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan pembangunan pendidikan anak-anak khususnya bidang keagamaan yang semakin mencabar.
Menurutnya, guru KAFA sangat berharap agar elaun dinaikkan selaras kadar gaji minimum iaitu RM1,700 bersesuaian dengan kos sara hidup yang meningkat.
“Elaun yang diberikan pada masa ini kami syukuri namun kami amat mengharapkan penambahbaikan supaya ia lebih memudahkan urusan kami terutamanya bagi membantu dalam mematuhi syarat permohonan pembiayaan pinjaman perumahan dan kenderaan oleh syarikat perbankan.
“Dengan pendapatan sedia ada, agak sukar untuk pihak bank meluluskan pinjaman tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Puziah Hussain, 54, berkata, besar harapan guru KAFA sekiranya elaun yang diterima setakat ini ditingkatkan seperti mana pendapatan yang diperolehi dalam bidang kerjaya lain.
“Harapan itu memang tinggi, kalau boleh nak elaun naik atau elaun tukar kepada gaji tapi rasa macam mustahil juga namun sekiranya semua pihak memahami, ia mungkin boleh dilaksanakan.
“Susahnya sebab mengajar tak cukup jam, tapi ada ura-ura kelas KAFA bermula Ahad hingga Selasa sebelum ini akan dilanjutkan lima hari seminggu. Jawapannya kami mahu jika ada kenaikan elaun,” ujarnya.
Sementara itu, Hifzi Haroon, 47, berkata, kenaikan elaun amat diharapkan memandangkan tugas dan tanggungjawab mendidik generasi muda yang semakin mencabar menjadi amanah buat guru KAFA seluruh negara.
“Saya tidak nafikan tugas makin bertambah begitu juga dengan tanggungjawab guru terhadap murid. Biarpun hanya mengajar KAFA namun merangkumi segenap ilmu yang disampaikan dalam membentuk sahsiah, keperibadian, akhlak dan tuntutan ibadat yang harus dipelajari umat Islam seluruhnya.
“Ilmu ini bukan sahaja diguna untuk peperiksaan semata-mata sebaliknya ia juga sebagai permulaan kepada bekalan sehingga akhir hayat,” kongsinya.
Justeru, beliau mengharapkan agar suara guru KAFA didengari seterusnya diberi perhatian sewajarnya dalam Belanjawan 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada 10 Oktober ini.
Ringkasan AI
- Guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) merayu agar elaun diselaraskan dengan gaji minimum RM1,700 menyesuaikan kos sara hidup yang tinggi
- Harapan untuk peningkatan elaun disuarakan dalam menanti Belanjawan 2026 sebagai penghargaan usaha pendidikan agama
- Penambahbaikan elaun diperlukan untuk memudahkan urusan permohonan pembiayaan pinjaman perumahan dan kenderaan
- Guru KAFA berhadapan dengan cabaran mendidik generasi muda serta tanggungjawab yang semakin meningkat
- Permintaan untuk peningkatan elaun itu bertujuan agar suara guru KAFA didengari dan diberi perhatian dalam Belanjawan 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

