[VIDEO] Audit keselamatan sekolah hampir selesai

A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Proses audit keselamatan di sekolah seluruh negara dijangka siap dalam tempoh sebulan hingga dua bulan lagi susulan sebanyak 700 daripada 10,000 buah sekolah telah diaudit setakat ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu penting bagi menilai komitmen kementerian dalam memastikan semua sekolah mendapat perhatian sewajarnya khususnya dari aspek kesejahteraan dan keselamatan.

"Proses audit kini hampir selesai dan kita jangkakan selesai dalam tempoh sebulan hingga dua (bulan) lagi.

“Hasil audit akan membantu kementerian mengenal pasti beberapa pendekatan dan penambahbaikan yang perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa, khususnya berkaitan dengan kesejahteraan dan keselamatan sekolah kita," katanya ketika ditemui pada Kempen Jelajah Anti Buli 2025 di Penanti di sini, Ahad.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Ketua Jemaah Nazir mengerah semua anggotanya menjalankan audit keselamatan sekolah dengan laporan perlu dikemukakan setiap minggu.

Fadhlina (kiri) bersalaman dengan peserta yang menghadiri Kempen Jelajah Anti Buli 2025 di Penanti pada Ahad.
Fadhlina (kiri) bersalaman dengan peserta yang menghadiri Kempen Jelajah Anti Buli 2025 di Penanti pada Ahad.

Langkah itu diambil sebagai sebahagian inisiatif memperkukuh aspek keselamatan di sekolah dan asrama.

Fadhlina sebelum ini dilaporkan berkata, tujuan proses audit di sekolah seluruh negara adalah bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik.

Artikel Berkaitan:

Kata Fadhlina, walaupun ia sedang dalam pelaksanaan, namun perkembangan yang berlaku sangat positif dan KPM akan mengumumkan dapatan awal daripada audit tersebut dalam masa terdekat.

Sementara itu, dalam ucapannya, Fadhlina berkata, KPM memberi perhatian serius terhadap kesejahteraan pelajar secara menyeluruh dan sebagai langkah ke hadapan, kementerian telah mengemukakan cadangan pelaksanaan Kerangka Safe School untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2026.

Menurutnya, cadangan tersebut antara lain menumpukan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan murid melalui penambahan guru kaunseling serta pengukuhan program sokongan kesihatan mental di sekolah.

“Dalam Belanjawan yang akan datang, KPM telah pun menghantar pandangan dan cadangan berhubung pelaksanaan Kerangka Safe School ini.

"Dalam kerangka tersebut, antara yang kami mohon untuk dipertimbangkan ialah penambahan waran secara besar-besaran bagi menambah guru kaunseling di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, penambahan itu amat penting kerana ia berkait rapat dengan pelaksanaan program sokongan kesihatan mental dalam kalangan murid dan warga sekolah.

“Aspek ini sangat penting kerana ia mencerminkan komitmen KPM dalam memastikan kesejahteraan murid terus terpelihara.

"Setiap kali belanjawan diumumkan, pendidikan sentiasa menjadi tumpuan kerana KPM merupakan kementerian terbesar dengan pelbagai program berskala besar dan berimpak tinggi,” katanya lagi.

Menurut Fadhlina, KPM berharap belanjawan kali ini memberi tumpuan khusus kepada pelaksanaan Kerangka Safe School termasuk memperkukuh peranan guru kaunseling, memperluas program kesihatan mental dan memperhebat usaha kesedaran bersama komuniti.

“Kami amat berbesar hati untuk terus berkongsi dengan komuniti agar kesedaran ini dapat dilaksanakan dengan lebih tegas, menyeluruh dan bersasar,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Proses audit keselamatan di sekolah seluruh negara dijangka siap dalam sebulan hingga dua bulan lagi
  • Sebanyak 700 daripada 10,000 buah sekolah telah diaudit setakat ini
  • Hasil audit akan membantu mengenal pasti pendekatan dan penambahbaikan berkaitan kesejahteraan dan keselamatan sekolah
  • Kementerian Pendidikan mengarahkan Ketua Jemaah Nazir menjalankan audit keselamatan sekolah dengan laporan mingguan
  • Cadangan pelaksanaan Kerangka Safe School dipertimbangkan untuk Belanjawan 2026, menumpukan pada keselamatan dan kesejahteraan murid

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!