BAP: Bukti aspek pendidikan tetap jadi keutamaan Kerajaan Madani

No Image Caption
A
A
A

Setiap permulaan sesi persekolahan baru membawa tanggungjawab besar kepada ibu bapa — dari beli pakaian seragam, kasut sekolah, bag, buku teks hinggalah peralatan menulis semua perlu disediakan.

Bagi sesetengah keluarga terutamanya golongan B40 dan M40, kos-kos ini boleh jadi satu beban kewangan yang agak tinggi, terutama apabila pendapatan isi rumah tidak besar.

Justeru, inisiatif kerajaan dalam bentuk bantuan seperti Bantuan Awal Persekolahan (BAP) adalah sangat penting untuk mengurangkan tekanan ini.

Dalam Belanjawan Malaysia 2025, Kerajaan MADANI mengumumkan bahawa jumlah peruntukan untuk BAP telah ditetapkan sebanyak RM800 juta.

Peruntukan itu memberi manfaat kepada kira-kira 5.2 juta murid dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 5, tanpa mengira pendapatan ibu bapa mereka.

Langkah berkenaan menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan setiap murid mempunyai peluang mula persekolahan dengan setara, tanpa anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan tertinggal kerana kekurangan modal untuk kelengkapan asas.

Bantuan seperti ini bukan sahaja meringankan beban kewangan secara langsung kepada ibu bapa dan penjaga, malah membantu murid hadir ke sekolah dengan keyakinan yang lebih tinggi dan perasaan dihargai.

Lebih dari itu, dedikasi peruntukan RM800 juta ini juga mencerminkan bahawa pendidikan dan kebajikan pelajar adalah antara keutamaan dalam Belanjawan 2025.

Kerajaan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan cuba memperlihatkan bahawa akses dan peluang pendidikan haruslah bersifat inklusif, tidak bergantung kepada keadaan kewangan keluarga agar setiap anak Malaysia dapat mencapai potensi mereka sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Berdasarkan rekod belanjawan negara, jumlah peruntukan BAP menunjukkan trend yang konsisten dan kekal besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada tahun 2022, peruntukan BAP direkodkan sekitar RM450 juta. Setahun kemudian, ia meningkat ketara apabila kerajaan mengumumkan kadar bantuan RM150 seorang murid, melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM825 juta bagi Bajet 2023.

Untuk Bajet 2024, kerajaan memperuntukkan sekitar RM788.13 juta, manakala dalam Bajet 2025, peruntukan ini kekal tinggi iaitu RM800 juta.

Walaupun terdapat sedikit variasi angka dalam kenyataan agihan rasmi (seperti RM791.25 juta), ia tetap mencerminkan komitmen kerajaan memastikan kelangsungan bantuan ini.

Secara keseluruhannya, ia jelas memperlihatkan keutamaan kerajaan dalam mengekalkan bantuan pendidikan yang memberi impak langsung kepada rakyat.

Dengan kadar bantuan kekal RM150 seorang, BAP terus menjadi sandaran utama bagi ibu bapa khususnya golongan berpendapatan rendah untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak tanpa terbeban.

No Image Caption

BAP ringankan beban ibu tunggal

SABAK BERNAM, SELANGOR; BAP)bernilai RM150 seorang yang disalurkan kerajaan setiap tahun ternyata meringankan beban golongan ibu tunggal dalam menyediakan kelengkapan anak-anak.

Bagi Intan Nur Zaika Jaafar, 42, wang itu cukup membantu terutama dalam menampung perbelanjaan dua daripada tiga anaknya yang bersekolah rendah.

"Bila dapat duit itu, memang saya terus asingkan untuk bayar yuran sekolah anak terlebih dahulu.

"Kalau ada lebih barulah saya gunakan untuk beli barang sekolah lain macam baju, kasut atau peralatan tulis," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Tanjong Karang.

Intan bersama-sama tiga anaknya bersyukur kerana menerima BAP bagi meringankan bebannya untuk membayar yuran persekolahan.
Intan bersama-sama tiga anaknya bersyukur kerana menerima BAP bagi meringankan bebannya untuk membayar yuran persekolahan.

Dua anak Intan menerima bantuan BAP iaitu, Muhamad Iman Firdaus Mohd Huzaini,12, dan Anis Suhada Mohd Huzaini, 11, manakala Iman Faiz, 4, masih di peringkat taman bimbingan kanak-kanak (tabika).

Allahyarham suaminya sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis pada 2022, menyebabkan Intan memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga tanpa pekerjaan tetap.

"Memang saya tumpukan sepenuhnya kepada anak-anak dan jika waktu persekolahan misalnya pada waktu pagi saya hantar mereka ke sekolah, petang ambil uruskan makan minum dan pelajaran mereka.

"Kalau saya kerja, siapa nak jaga mereka? Jadi saya cuma buat kerja sambilan bila ada masa lapang," jelasnya.

 INTAN
 INTAN

Intan bagaimanapun bersyukur kerana turut menerima bantuan dari Lembaga Zakat Selangor dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dalam pada itu, Intan menegaskan pendidikan tetap menjadi keutamaan buat anak-anaknya walaupun hidup serba kekurangan.

"Memang saya selalu pesan pada anak-anak, belajar betul-betul sebab itu saja jalan untuk ubah nasib kita.

"Saya tak pandai, tapi saya hendak tengok mereka berjaya. Kalau tak faham, tanya cikgu di sekolah dan bila balik rumah saya suruh mereka ulang baca.

“Anak sulung pun dah tunjuk potensi, dapat keputusan baik di sekolah. Itu buat saya rasa berbaloi walaupun penat,” katanya sebak.

Beliau berharap kerajaan terus mengekalkan inisiatif bantuan persekolahan, malah mempertimbangkan untuk menambah jumlah bantuan tunai atau memperkenalkan baucar pakaian sekolah.

"Sekarang ini kita berdepan isu barang keperluan naik, jadi bantuan kewangan memang lebih diperlukan.

Kalau ada kupon untuk beli pakaian sekolah atau buku pun bagus dan ia setidak-tidaknya ringan beban kami ibu tunggal," tambahnya.

Bantuan kecil yang besar maknanya

JOHOR BAHRU; Setiap kali musim persekolahan bermula, Yahya Kiprawi, 49, pasti memikirkan bagaimana mahu melengkapkan keperluan empat orang anaknya.

YAHYA
YAHYA

Bermula dengan pakaian seragam, kasut, beg, sehinggalah buku, buku tambahan dan yuran persatuan, jumlah perbelanjaan yang perlu ditanggung bukannya sedikit bagi memastikan keselesaan buat kesemua empat anaknya, Muhammad Amirul Rasyid, 16, Mohammad Afiq Raif, (14), Muhammad Aqi Raziq, (10) dan Mohamad Aryan Riqzi, 9 tahun.

Yahya yang bekerja di sektor swasta dan menetap di Ulu Tiram tergolong dalam kumpulan B40 yang berdepan cabaran menguruskan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Justeru, apabila kerajaan menyalurkan BAP, dia merupakan antara ketua keluarga dan bapa yang gembira serta bersyukur selain mengakui bantuan itu memberikan kelegaan yang sukar digambarkan.

“Jumlahnya mungkin tidak besar, tapi cukup bermakna. Sekurang-kurangnya, saya dapat pastikan anak-anak lengkap seragam ke sekolah.

"Saya juga percaya apabila mereka selesa, mereka lebih yakin dan bersemangat untuk belajar,” ujarnya.

Tambah Yahya, bantuan itu bukan sahaja meringankan beban kewangan, tetapi turut menjadi satu bentuk dorongan moral buat ibu bapa.

Malah katanya, perasaan lega melihat anak-anak melangkah ke sekolah dengan persiapan yang sempurna adalah sesuatu yang tidak ternilai.

“Sebagai bapa, saya mahu yang terbaik untuk mereka. Bila ada bantuan seperti ini, sedikit sebanyak ia mengurangkan rasa terbeban.

"Sekali gus, ia juga tanda bahawa kerajaan prihatin dengan cabaran golongan berpendapatan sederhana rendah,” ujarnya.

Lega BAP dapat ringankan beban

KEPALA BATAS, PULAU PINANG; "Syukur, dengan bantuan diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya sebagai ibu tunggal dalam menyediakan kelengkapan sekolah anak,kata seorang ibu tunggal, Huzaini Salleh dari Bertam Perdana.

Huzaini yang tidak bekerja berkata, BAP berjumlah RM150 itu amat bermakna kerana dapat digunakan untuk membeli keperluan anaknya, Muhammad Irfan Ab Malik, 17 yang kini berada di Tingkatan Lima.

HUZAINI
HUZAINI

Menurutnya, dengan kos sara hidup pada masa ini dia perlu bijak menguruskan kewangan kerana pendapatannya hanya bergantung kepada pencen peninggalan arwah suaminya

"Apabila dapat bantuan ini, saya terus lega kerana duit itu boleh saya gunakan untuk beli barangan yang diperlukan serta buku rujukan untuk kegunaan anak untuk persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Tambahan pula, dia perlu mengikuti kelas tambahan serta program intensif lain memerlukan perbelanjaan yang lebih," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Huzaini berkata, walaupun jumlahnya nampak kecil bagi sesetengah orang, tetapi baginya, ia sangat besar nilainya kerana memberi kelegaan dan semangat untuk terus berusaha memastikan anak berjaya.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan bantuan ini kerana ia dapat membantu meringankan beban golongan masyarakat yang memerlukan,"katanya.

REAKSI PENERIMA BAP

SUHAIMI
SUHAIMI

"Sebenarnya, isteri yang lebih banyak uruskan hal persekolahan anak. Alhamdulillah, setakat ini semua kelengkapan persekolahan anak dapat disediakan. Apa pun, bagi saya BAP memang bagus dan membantu, tapi kalau dapat tambah lagi sikit lagi bagus." Pekerja e-hailing, Suhaimi Salam, 42 tahun.

FAUZIAH
FAUZIAH

"Tiga anak saya masih belajar, seorang di sekolah rendah, seorang di sekolah menengah dan seorang lagi melanjutkan pengajian di kolej. Jadi, bantuan BAP ni memang kita alu-alukan kerana memang banyak membantu terutamanya bagi anak-anak saya yang masih bersekolah untuk beli buku selain untuk bayaran sekolah dan PIBG.” - Peniaga runcit, Fauziah Shari, 48, tahun.

ROSLI
ROSLI

"Alhamdulillah, terima kasih dengan bantuan ini. (BAP). Memang banyak membantu bagi menyediakan kelengkapan persekolahan terutamanya buku-buku serta pakaian sekolah. Cuma kalau dapat ditambah lagi bantuan ini kerana harga kelengkapan sekolah seperti buku, pakaian sekolah pun bukannya murah. Agak mahal."- Peniaga pakaian terpakai, Rosli Ahmad, 58 tahun

ZULKARNAIN
ZULKARNAIN

"Saya harap bantuan BAP ni dapat diteruskan. Memang tak banyak tapi kalau dilihat ia memang terutamanya dari segi perbelanjaan beli kelengkapan sekolah macam alat tulis, buku, pakaian seragam sekolah. Mungkin pada masa akan datang kos pendidikan dapat jadi murah pula atau mungkin Pendidikan percuma dapat direalisasikan." - Kakitangan swasta, Zulkarnain Sarimau, 46 tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!