Pelajar luar bandar gagal nikmati BUDI95, cadang program JPJ di kampung

Ramai pelajar 16 tahun ke atas guna motosikal setiap hari, tapi bila isi minyak mereka tak layak guna subsidi BUDI95 sebab tak ada lesen. Akhirnya kena bayar harga penuh RM2.60 seliter - Anak Muda Madani Kedah

Zuraidi (duduk kiri) semasa program Program Jelajah Keadilan Padang Terap di Kampung Sireh pada petang Sabtu. Foto: Anak Muda Madani Kedah
Zuraidi (duduk kiri) semasa program Program Jelajah Keadilan Padang Terap di Kampung Sireh pada petang Sabtu. Foto: Anak Muda Madani Kedah
A
A
A

KUALA NERANG – Ketiadaan lesen memandu sah dalam kalangan remaja luar bandar, khususnya pelajar menyebabkan mereka terpinggir daripada menikmati subsidi petrol RON95 di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) sekali gus menambah beban kewangan keluarga berpendapatan rendah.

Pengerusi Anak Muda Madani Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, ramai pelajar di kawasan seperti Padang Terap menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama ke sekolah dan juga untuk membantu keluarga di kebun, namun tidak layak menerima subsidi kerana belum memiliki lesen memandu.

“Ramai pelajar guna motosikal setiap hari, tapi bila isi minyak mereka tak layak guna subsidi BUDI95 sebab tak ada lesen. Akhirnya kena bayar harga penuh RM2.60 seliter.

“Ini membebankan keluarga luar bandar. Contohnya di daerah ini, ibu bapa ramai yang menoreh getah dan menjadi petani,” katanya selepas Program Jelajah Keadilan Padang Terap di Kampung Sireh, pada petang Sabtu.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa hanya warganegara berumur 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menerima subsidi petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter di bawah program berkenaan.

Mengulas lanjut, Zuraidi berkata, kebanyakan remaja bukan sengaja melanggar undang-undang, sebaliknya berasa takut dan tidak yakin untuk berurusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Saya cadangkan JPJ guna pendekatan lebih mesra. Turun ke kampung, buat program khas. Saya bersedia jadi perantara untuk bantu mudahkan urusan. Daftar, beri penerangan dan terus jalankan ujian di sini. Tak perlu ambil masa terlalu lama.

“Kalau dibuat secara mesra dan cepat, mereka bukan sahaja dapat lesen, tapi boleh nikmati harga minyak RON95 RM1.99. Keluarga pun lega, sebab anak-anak boleh isi minyak dengan harga sama macam orang lain,” ujarnya.

Beliau berkata, pendekatan itu bukan sahaja dapat mempercepatkan proses pemilikan lesen sah dalam kalangan pelajar berusia 16 tahun ke atas, malah membuka ruang ke arah pematuhan undang-undang jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Zuraidi turut menyatakan kesediaan pihaknya untuk menggerakkan pasukan sukarelawan dan logistik bagi membantu mangsa banjir yang terjejas pada musim tengkujuh, termasuk menyewa bot penyelamat sekiranya diperlukan.

“Kita tak tunggu sampai banjir baru nak gerak. Dari sekarang kita dah bersiap, sedia pasukan dan logistik. Kalau perlu, kita sanggup sewa bot sendiri untuk bantu selamatkan mangsa sekiranya bot agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam tidak mencukupi,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!