Orang ramai mohon kerajaan pertimbang lesen memandu alternatif tuntut BUDI95

Keadaan di salah sebuah stesen minyak di sekitar bandar George Town pada hari pertama pelaksanaan sistem BUDI95 melibatkan pengguna biasa. Gambar kecil dari kiri: Kho Kwan, Shafiq, Balakumaran
Keadaan di salah sebuah stesen minyak di sekitar bandar George Town pada hari pertama pelaksanaan sistem BUDI95 melibatkan pengguna biasa. Gambar kecil dari kiri: Kho Kwan, Shafiq, Balakumaran
A
A
A

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Pelaksanaan inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan menggunakan MyKad di beberapa stesen minyak sekitar bandar ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah besar.

Tinjauan Sinar Harian di lima stesen minyak utama mendapati tiada pelanggan beratur panjang di kaunter bayaran.

Kehadiran pelanggan berada pada kadar biasa dengan urusan pembayaran berjalan teratur, sekali gus menolak kebimbangan kemungkinan berlaku kesesakan di stesen minyak susulan pelaksanaan sistem itu.

Biarpun berpuas hati dengan kelancaran, sebahagian pengguna berharap kerajaan menimbangkan penggunaan lesen memandu sebagai alternatif kerana ia lebih praktikal dan selamat.

Seorang jurujual, Choy Kho Kwan, 50, berkata, penggunaan MyKad agak menyusahkan kerana pelanggan perlu menyerahkannya kepada juruwang setiap kali mengisi minyak.

“Kalau serah MyKad, ada kemungkinan kita tertinggal di kaunter. 

"Saya juga risau jika pihak ketiga salah guna maklumat peribadi. Lebih baik hanya tunjuk lesen memandu berikutan ia lebih relevan kerana juruwang di kaunter hanya perlu mengimbas kod QR lesen memandu digital yang terdapat 

di dalam aplikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya. 

Pandangan sama turut dikongsi oleh M Balakumaran, 45, seorang pengatur cara komputer yang menyifatkan penggunaan MyKad berisiko tinggi dari aspek keselamatan data peribadi.

Artikel Berkaitan:

“Apabila imbas MyKad, semua maklumat kita boleh diakses pihak lain. Ini bahaya. Orang biasa mungkin tidak tahu, tetapi mereka yang pakar, boleh menggodam semua butiran yang terdapat di dalam MyKad yang diimbas.

"Sepatutnya kerajaan hanya perlu mengimbas kod QR di aplikasi JPJ kerana logiknya hanya pemandu sah layak isi minyak subsidi kerana yang ada lesen sahaja dibolehkan menggunakan jalan raya," katanya.

Sementara itu, seorang penjawat awam, Tan Sun Nee, 43, berpandangan penggunaan MyKad tidak begitu efisien kerana mengambil masa terutama ketika pelanggan berada dalam keadaan tergesa-gesa.

“Pada pandangan saya, jika guna MyKad, prosesnya lebih lambat di kaunter. 

"Saya berharap kerajaan mempertimbangkan alternatif lain untuk menangani masalah ini," katanya.

Bagaimanapun, ada pelanggan mengakui mereka teruja menikmati subsidi petrol yang dilaksanakan kerajaan.

Seorang pemandu pelancong, Shafiq Azman, 33, berkata, dia puas hati selepas berjaya menjimatkan kos ketika mengisi minyak.

“Saya bayar RM20 tetapi dapat minyak bernilai RM26. 

"Agak teruja kerana perlu menunjukkan MyKad untuk mendapat subsidi minyak, cuma kalau ramai orang di kaunter, mungkin jadi sesak sedikit,” katanya.

Dalam pada itu, pengurus sebuah stesen minyak di Lebuhraya Dr Lim Chong Eu yang hanya mahu dikenali sebagai Lee memaklumkan operasi berjalan lancar tanpa sebarang gangguan besar sepanjang hari pertama pelaksanaan.

"Setakat ini, sistem semua bagus, tidak tergendala. Jumlah pelanggan pun seperti biasa kerana di sini memang pelanggan selalu ramai kerana ia terletak di tepi lebuh raya.

“Cuma ada pelanggan terlupa bawa MyKad atau cip kad tidak boleh dibaca, menyebabkan proses sedikit lambat," katanya.

Tambah Lee, untuk minggu pertama, dia akan menunggu di kaunter pembayaran untuk membantu pelanggan.

"Minggu ini, saya sendiri berdiri di luar kaunter membantu pelanggan.

"Bimbang juga jika berlaku masalah sistem seperti yang berlaku ketika MyKasih untuk SARA (Sumbangan Asas Rahmah) dahulu. Jadi untuk langkah berjaga-jaga, saya akan membantu di kaunter bayaran," ujarnya.

Bermula tengah malam tadi, seramai 16 juta rakyat Malaysia mula menikmati manfaat daripada inisiatif BUDI95 yang menetapkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Harga itu lebih murah berbanding kadar subsidi pukal sedia ada iaitu RM2.05 seliter dengan setiap rakyat diberi kelayakan penggunaan sebanyak 300 liter sebulan.

BUDI95 mula dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 September dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati inisiatif itu sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40.

Ringkasan AI

  • Pelaksanaan BUDI95 berjalan lancar di beberapa stesen minyak di George Town tanpa masalah besar
  • Pelanggan merasa prosesnya lancar tetapi berharap kerajaan mempertimbangkan alternatif menggunakan lesen memandu untuk keselamatan data
  • Beberapa pengguna menyatakan keprihatinan tentang risiko kebocoran data peribadi akibat penggunaan MyKad
  • Pelanggan mengakui mereka teruja menikmati subsidi petrol yang dilaksanakan kerajaan melalui BUDI95
  • Seramai 16 juta rakyat Malaysia mula menikmati manfaat BUDI95 dengan harga petrol RON95 lebih murah pada RM1.99 seliter

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!