Tiada stesen minyak, penduduk pedalaman di Dabong tetap nikmati BUDI95

KUALA KRAI - Dabong merupakan antara kawasan pedalaman yang masih tidak mempunyai kemudahan stesen minyak, namun penduduk di sini tetap dapat menikmati Budi Madani RON95 (BUDI95).
Tinjauan Sinar Harian di sini pada Selasa mendapati terdapat 16 pos isian minyak petrol secara tradisional iaitu dengan mengepam bahan api tersebut menggunakan tangan.
Antara kawasan terlibat ialah Jelawang, Sungai Batu, Kandek, Biak, Stong, Kemubu, Gua Chatak, Sri Mahligai, Sri Bintang, Kuala Geris, Sungai Teku, Gong Genor, Bukit Pagar, Sungai Tias, Slow Mengkuang dan Pulai Layak.

Untuk ke stesen minyak berhampiran, mereka perlu menempuh perjalanan sejauh 53 kilometer (km) ke Jeli, 56 km ke Laloh dan 70 km ke Gua Musang.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, bagi BUDI95 penduduk di kawasan pedalaman turut menikmati manfaat harga RM1.99 sama seperti di bandar bermula Rabu.
“Rekod transaksi akan dibuat secara manual memandangkan wujud kemungkinan masalah teknikal seperti kesukaran akses talian internet.
“Bagaimanapun, KPDN memberi jaminan pemantauan berterusan akan dilakukan terhadap semua pihak terlibat bagi mengelakkan sebarang bentuk manipulasi atau ketirisan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, pemilik pos isian minyak petrol di Pekan Dabong, Zalee Che Sulaiman, 55, berkata terdapat kira-kira 2,000 pengguna termasuk pelajar sekolah yang melibatkan pemilik motosikal dan kereta.
Menurut dia yang telah berniaga minyak secara tradisional sejak 13 tahun lalu, selain pemilik kenderaan, petrol di sini turut dibeli oleh nelayan darat serta pekebun.
Ujarnya, melalui Program Penyeragaman Harga KPDN, mereka di sini sentiasa menikmati harga petrol sebagaimana penduduk di bandar kerana kerajaan menanggung sebahagian kos pengangkutan penghantaran supaya harga tetap konsisten.
“Sebelum BUDI95 dilaksanakan, harga petrol dijual pada kadar RM2.05 dan saya menghadkan pembelian setakat 10 liter sahaja kepada pemilik kereta, bagi memastikan semua dapat menikmati kemudahan ini.
“Kami juga perlu merekod setiap pembelian sebagai bukti untuk memudahkan proses audit yang dilakukan seminggu sekali oleh KPDN,” katanya.

Bagi peniaga pos isian minyak di Bukit Mas, Asroha Mat Ariffin, 43, setiap hari beliau hanya menjual sekitar 300 liter petrol sahaja.
Ujarnya, hanya itu kuota yang diperoleh memandangkan pelanggan kebanyakannya adalah pemilik motosikal berbanding kereta.
Ringkasan AI
- Dabong adalah antara kawasan pedalaman tanpa kemudahan stesen minyak
- Terdapat 16 pos isian minyak petrol tradisional di Dabong
- Penduduk harus menempuh perjalanan jauh ke stesen minyak berhampiran
- Penduduk menikmati harga petrol BUDI95 serendah RM1.99 sama seperti di bandar
- Rekod transaksi dibuat secara manual untuk mengelak masalah teknikal dan kemungkinan manipulasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

