Pelan 20 cadangan Trump-Netanyahu hanya ugutan, bukan tawaran damai - Tun M

SHAH ALAM – Cadangan pelan damai Israel-Palestin membabitkan 20 perkara yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bagi menghentikan genosid Israel di Palestin bukanlah satu tawaran damai, sebaliknya satu ugutan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan itu menetapkan tempoh empat hari untuk diterima Hamas dengan amaran bahawa jika ditolak, serangan ke atas Gaza akan menjadi lebih buruk hakikatnya merupakan sesuatu perkara yang sukar diterima Hamas.
Jelasnya, hal ini kerana lebih 60,000 nyawa telah terkorban akibat pengeboman Israel dan cadangan itu hanya menjadikan pengorbanan rakyat Palestin sia-sia.
"Trump bersama Netanyahu mahu mengambil alih Gaza yang bermakna rakyat Palestin mesti menyerah kalah.
"Bagaimana mereka mengharapkan Hamas menerima penyerahan diri sebagai penyelesaian adalah sesuatu yang sukar difahami,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Trump mengemukakan pelan 20 cadangan bagi menamatkan konflik di Gaza dengan menggariskan satu rangka kerja terperinci untuk mencapai keamanan di rantau itu.
Pelan itu juga menetapkan matlamat jangka panjang yang jelas iaitu untuk menamatkan semua pertempuran dan melancarkan program menyahradikalisasi di seluruh enklaf Palestin.
Dari satu sudut, cadangan itu membuka laluan ke arah kemungkinan penubuhan sebuah negara Palestin, satu anjakan penting yang direka untuk mencapai penyelesaian berkekalan.
Bagaimanapun, ramai pemerhati politik antarabangsa menyifatkan pelan damai berkenaan bersifat wayang bagi menutup mulut masyarakat dunia yang semakin bersolidariti mengecam tindakan tidak berperikamusiaan rejim Zionis terhadap penduduk Gaza.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir menambah Trump bukanlah satu watak pendamai, sebaliknya menggunakan ugutan penggenaan kadar tarif tinggi, sekatan ekonomi serta pelbagai tuntutan bagi menghentikan peperangan di mana kaedah gagal menyelesaikan konflik di Ukraine dan Rusia.
“Saya tidak terkejut jika Hamas menolak cadangan ini.
"Genosid akan terus berlaku dengan lebih dahsyat dibantu oleh Amerika Syarikat,” katanya.
Ringkasan AI
- Cadangan pelan damai Israel-Palestin oleh Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilihat sebagai ugutan bukan tawaran damai
- Pelan tersebut memaksa Hamas menerima cadangan dalam tempoh empat hari dengan amaran konflik akan bertambah buruk jika ditolak
- Lebih 60,000 nyawa telah terkorban akibat pengeboman Israel, menjadikan cadangan itu tidak dapat diterima oleh Hamas
- Pelan Trump mencadangkan pengambilalihan Gaza, menuntut penyerahan diri rakyat Palestin
- Ramai pemerhati politik antarabangsa menyifatkan cadangan pelan damai tersebut sebagai wayang untuk menutup mulut masyarakat dunia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

