Virus Nipah: KKM ambil langkah pencegahan awal

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil pendekatan proaktif dan prakecualian (pre-emptive) dalam menangani risiko penularan virus Nipah termasuk melaksanakan saringan di lapangan terbang sebagai langkah pencegahan awal.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu diambil walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyorkan saringan di lapangan terbang dilaksanakan ketika ini memandangkan risiko penularan virus tersebut dari India adalah rendah.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan bertujuan memastikan tahap kesiapsiagaan negara berada pada paras optimum serta mengelakkan kemungkinan kes terlepas masuk ke negara ini.
“Kita mengambil pendekatan proaktif dan prakecualian dari segi tahap kesiapsiagaan, di samping memastikan saringan awal dapat dilakukan terhadap sebarang kemungkinan.
“Langkah saringan ini khususnya melibatkan individu yang tiba dari India dan Bangladesh sebagai usaha pencegahan awal,” katanya ketika sidang ahbar selepas Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026, di sini, pada Rabu.
Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Ismuni Bohari dan Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Profesor Dr M. Muralitharan.
Sebelum ini, media melaporkan saringan virus Nipah di lapangan terbang dipertingkatkan di beberapa negara Asia minggu ini susulan pengesanan dua kes di India, bertujuan memberi jaminan dan keyakinan kepada orang ramai.
Bagaimanapun, beberapa pakar berpendapat pendekatan berasaskan sains bagi mengekang penularan virus berkenaan adalah lebih bermanfaat.
WHO pula memaklumkan bahawa pihaknya tidak mengesyorkan saringan di lapangan terbang pada masa ini kerana risiko penularan virus Nipah dari India adalah rendah.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, pendekatan yang diambil KKM perlu seimbang supaya tidak menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam, selain tidak terlalu berkompromi sehingga hanya mengambil tindakan minimum.
Ketika ditanya sama ada sistem kesihatan negara bersedia untuk mengesan dan mengawal penularan virus Nipah, khususnya di hospital awam, beliau berkata, pendekatan yang sangat tegas dan berlapis telah diambil kerajaan.
“Ia merangkumi pengawasan berterusan, pengesanan awal, pengurusan kontak sekiranya berlaku kes, pematuhan kepada semua prosedur operasi standard (SOP), kesiapsiagaan fasiliti serta komunikasi risiko yang berkesan.
“Oleh itu, kami sangat yakin bahawa persiapan dan kesiapsiagaan yang telah dibuat adalah mencukupi.
“Sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan, kami akan segera melaksanakan langkah kawalan yang perlu.
“Buat masa ini, kementerian berada dalam mod berjaga-jaga tinggi (high alert) dan jika dirasakan perlu, kami akan terus bertindak. Itu yang paling mustahak,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil pendekatan proaktif dan prakecualian dalam menangani risiko penularan virus Nipah
- Saringan di lapangan terbang dilakukan sebagai langkah pencegahan awal walaupun WHO tidak mengesyorkan
- Pendekatan ini diambil untuk memastikan tahap kesiapsiagaan negara pada paras optimum
- Saringan khususnya melibatkan individu yang tiba dari India dan Bangladesh
- KKM mengambil pendekatan yang seimbang untuk tidak menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam dan memastikan kesiapan menghadapi virus Nipah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

